Perpaduan
dan Integrasi di Malaysia: Memahami
Konsep Merancang Hasrat.
Mohamad Rashid Abu Bakar
Abstrak
Kekeruhan hubungan etnik di Malaysia dikatakan mula
tercetus selepas Perang Dunia ke Dua, dan sejak itu kita tidak pernah berhenti
berusaha untuk menjernihkan kekeruhan dan mengekalkan mutiara-mutiara
kejernihan yang mampu kita tangguk dari kekeruhan tersebut. Justeru dalam
suasana begini dua kalimah keramat yang menghantui kehidupan sosial dalam
masyarakat adalah ‘Perpaduan dan
Integrasi’. Pelbagai pihak, sama ada kerajaan, masyarakat dan individu
seolah mengidamkan dua kalimah keramat ini mampu menjadi realiti dalam
kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Keghairahan dan kegelisahan untuk
merealitikan hasrat ini, kadang kala menyebabkan kita tidak rasional dan cukup
emosional dalam membincangkan isu perpaduan dan integrasi. Sehubungan itu, artikel
pendek ini akan cuba mengupas realiti berkaitan perpaduan dan integrasi serta konsep-konsep
asas yang tersembunyi disebalik dua kalimah keramat ini. Hasilnya mungkin mampu
mengubah persepsi masyarakat terhadap konsep dan proses pembentukan perpaduan
dan integrasi secara menyeluruh dan lebih terarah.
Kata
Kunci: perpaduan dan integrasi,
akomodasi, akulturasi, amalgamasi, asimilasi, ethnosentrisme, rasisme,
prejudis, diskriminasi.
1.0
Pengenalan
Perpaduan
dan integrasi merupakan dua isu yang menjadi agenda utama negara sejak awal
kemerdekaan malah berterusan sehingga kini. Kesungguhan untuk merealisasikan proses pembentukan perpaduan
dan integrasi menjadikan kita kadang kala tidak rasional dan cukup emosional
malahan pada ketika tertentu mewujudkan suasana tegang, gelisah, dan seolah wujud sindrom
‘psychological
panic’ apabila ada pihak merasakan bahawa keamanan dan muhibah yang
kita nikmati, kita megahkan dan kita canangkan keseluruh dunia kini semakin
terancam, akan terungkai dan terburai satu demi satu (Syamsul Amri Baharuddin,
2008). Suasana sebegini menyebabkan kadangkala kita tersasul dengan
mengambil tindakan yang tergopoh-gapah (knee-jerk reaction) dan kadang kala
melatah untuk mencari jalan penyelesaian segera (instant solution) untuk mengatasi segala permasalahan. Proses untuk
mencapai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berintegrasi bukanlah sesuatu
yang mudah, malah integrasi itu sendiri adalah satu proses yang amat kompleks
(Mohd Sohaimi et. al., 2011:19).
Sehubungan
itu, untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diintegrasikan
secara syumul, memerlukan satu dasar (foundation)
yang kukuh dan jelas. Pemahaman terhadap
kehendak dan makna yang tersembunyi disebalik konsep perpaduan dan integrasi
itu sendiri perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang terlibat secara
langsung dalam merancang dan melaksanakan program-program perpaduan dan
integrasi. Sebagai satu usaha yang boleh disumbangkan untuk memberi pemahaman berkaitan
konsep perpaduan dan integrasi maka kajian ringkas ini akan cuba membincangkan
secara akademik konsep-konsep asas berkaitan proses perpaduan dan integrasi
untuk difahami, dihayati dan dikongsi oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Untuk mencapai matlamat pembentukan negara bangsa yang bersatu padu, setiap
individu tanpa mengira etnik perlu
membina pemahaman yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘perpaduan
dan integrasi’ yang ingin
dibina dalam konteks negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
2.0
Konsep Perpaduan dan Integrasi
Cabaran utama kepada
golongan pemikir, pemerintah, pemimpin masyarakat dan cendiakiawan di Malaysia
adalah untuk menjana kefahaman dan membina strategi untuk terus menerus
memantau dan menilai keadaan hubungan antara etnik. Menurut Syamsul Amri
Baharuddin (2008:3) sebelum kita mampu melaksanakan atau merealisasikan bentuk perpaduan
dan integrasi secara berkesan, kita perlu membina kefahaman yang jelas tentang
apa yang dimaksudkan dengan ‘perpaduan dan integrasi’. Pada
dasarnya hubungan etnik di Malaysia mempunyai asas ‘perpaduan dan integrasi
yang mendalam dan kuat terutamanya yang terbina selepas peristiwa 13 Mei 1969
(Syamsul Amri Baharuddin, 2008:3). Oleh itu, adalah penting kepada kita untuk
memahami secara mendalam tentang perpaduan dan integrasi serta proses bagaimana
pembentukan kedua-duanya berlaku dan apakah halangan-halangan yang membataskan
proses pembentukannya. Sehubungan itu, perbincangan akan cuba mengupas cakupan
makna untuk memberi pemahaman kepada umum tentang konsep perpaduan dan
integrasi di Malaysia.
Perpaduan merujuk kepada
proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota
masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta
dan bangga terhadap negara (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:48; Syamsul
Amri Baharuddin, 2007). Perpaduan (unity)
lawannya perpecahan (disunity), malah
menurut Syamsul Amri Baharuddin (2008:3) perpaduan yang diidam-idamkan di
Malaysia akan tercapai melalui pengembelengan ciri-ciri kepelbagai (diversity) yang wujud dalam masyarakat.
Unsur
perpecahan (disunity) pula berpunca
daripada faktor kelas sosial yang mencirikan susun lapis masyarakat. Ia adalah
sesuatu yang universal dan wujud dalam semua masyarakat di dunia. Setiap kelas
sosial mempunyai kepentingan yang berbeza, malahan pertentangan kepentingan dan
kehendak antara kelas sosial yang berbeza ini terus menerus berlaku dan sukar
untuk diduga. Proses tarik tali antara
perpecahan (disunity) dan kepelbagai (diversity) yang berterusan dalam masyarakat berlaku akibat sulaman
interaksi faktor kelas, kepentingan etnik dan perbezaan gaya hidup antara kelas
dalam etnik yang berbeza (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:4).
Maka
bolehlah disimpulkan bahawa konsep perpaduan yang dianjurkan dan realiti sosial
yang menjadi acuannya adalah bersifat abstrak dan nyata sekali gus. Ini
bermaksud kita mampu membina perpaduan melalui strategi tertentu dan pada masa
yang sama wujud faktor-faktor penghalang yang sukar kita duga dan boleh
menghancurkan perpaduan yang dibina dalam sekelip mata. Oleh itu, bagi
memastikan kelangsungan perpaduan kita menyedari elemen-elemen penghalang yang
wujud dalam realiti sosial masyarakat pelbagai etnik.
Integrasi pula
merujuk kepada proses untuk mewujudkan satu identiti nasional dalam
kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam
sesebuah unit politik. Menurut Syamsul Amri Baharuddin (2007) integrasi adalah
proses menggabungkan masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat
dapat membentuk satu identiti nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan
tanah air. Noriati A. Rashid (2010) pula menyatakan bahawa integrasi nasional
adalah proses penyatuan antara kumpulan yang berbeza dari segi latar belakang,
status sosial dan budaya dalam membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma
disamping mengamalkan kehidupan bersama. Integrasi merupakan satu proses yang
berlaku hasil daripada ikatan perasaan antara manusia yang berbentuk kerohanian
atau spiritual yang terhasil daripada satu penghayatan yang akhirnya berlaku
perkongsian pemikiran dan hati yang jauh merentasi perbezaan budaya dan
kumpulan etnik. Integrasi nasional juga merupakan satu proses berbentuk
abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul
Kenegaraan, 2011 : 179-180).
Integrasi adalah satu proses yang amat
kompleks dalam tahap-tahap hubungan etnik dan boleh dilihat dari darjah
kedekatan bermula dengan hubungan yang terpisah (segregasi) sehinggalah mencapai tahap hubungan yang sebati (amalgamasi). Hubungan yang rapat antara
wilayah yang terpisah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan
nilai, seterusnya mampu mengurangkan konflik, mengutamakan persefahaman dan
mewujudkan perasaan harmonis (Ting Chew Peh, 1987).
Integrasi
(integration) pula lawannya adalah
segregasi (segregation). Proses
segregasi (pemisahan) dalam masyarakat dikatakan berlaku akibat daripada dasar
pecah dan perintah pihak British. Bentuk segregasi yang jelas berlaku adalah
pemisahan ruang fizikal dan segregasi inilah yang perlu ditangani oleh pihak
kerajaan melalui melalui dasar-dasar sedia ada atau yang bakal dibentuk. Namun begitu proses ini tidak sepenuhnya dapat
direalisasikan melalui dasar sedia ada kerana ia bergantung kepada banyak
faktor lain seperti harga rumah, saiz keluarga, kemampuan memiliki, kemudahan
infrastruktur dan sebagainya.
Jika
digabungkan perkataan ‘perpaduan dan integrasi’ maka ia akan membawa maksud proses untuk mewujudkan satu masyarakat yang
bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk
melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan politik. Dalam
konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak banyak melibatkan
unsur-unsur asimilasi, tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan
akulturasi (Mohd Ridhuan Tee, 2010:62). Secara umumnya perpaduan merujuk kepada
suatu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah
hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dan member komitmen yang
penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan
dan Rukun Negara (Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992).
3.0
Proses Perpaduan dan Integrasi
Proses pembentukan
perpaduan adalah satu usaha yang berterusan bermula daripada segregasi kepada
kesepaduan sosial melalui proses integrasi.. Segregasi adalah
pemahaman yang mengasingkan etnik-etnik mengikut kumpulan masing-masing dan
tidak berlaku interaksi antara satu kumpulan dengan kumpulan lain.
Segregasi boleh berlaku dalam masyarakat
melalui (i) pengasingan tempat tinggal,
(ii) pengasingan pekerjaan, (iii) perbezaan tumpuan sektor ekonomi, (iv) pengasingan
sistem persekolahan, (v) perbezaan kepercayaan dan agama, (iv) masalah ekonomi,
(vi) fahaman politik yang berbeza dan (v) penggunaan akhbar yang berbeza (Ahmad
Ali Seman & Warti Kimi, 2014:3). Perubahan daripada segregasi kepada
integrasi akan membawa kumpulan minoriti dan majoriti untuk bersama-sama dalam
pembangunan negara. Integrasi yang berlaku juga tidak akan menghapuskan
identiti, budaya, agama, kepercayaan, bahasa dan hak hidup kumpulan majoriti
ataupun kumpulan minoriti.
Syamsul Amri
Baharuddin (2008:5) telah mengariskan empat proses penting yang relevan dan
perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam program perpaduan
dan integrasi di Malaysia. Empat proses tersebut dapat diperjelas mengikut
hirarki seperti ditunjukkan dalam rajah 1.
AmaIgamasi
|
Proses yang
dilakukan secara “interventionist” dan sedar oleh beberapa kumpulan etnik atau
pemerintah untuk mencantumkan beberapa unsur berbeza daripada kumpulan etnik
yang berbeza dalam satu entiti yang bersatu sama ada secara sementara atau
kekal. Contoh projek sekolah wawasan.
|
Asimilasi
|
Proses percantuman
dan penyatuan antara kumpulan etnik yang berlainan budaya sehingga membentuk
satu kelompok kebudayaan dan identiti yang sama atau satu versi daripada
kelompok dominan. Contoh komuniti peranakan (baba-nyonya).
|
Akulturasi
|
Proses penerimaan
dan pinjaman unsur atau perlakuan budaya antara kelompok etnik yang
berbeza.Contoh pakaian, makanan atau apa-apa yang sesuai dengan norma dan
nilai kumpulan etnik yang meminjam.
|
Akomodasi
|
Proses yang
melibatkan beberapa kumpulan etnik yang menyedari bahawa mereka adalah
berbeza, namun menghormati norma dan nilai kolektif antara satu sama lain.
Contoh konsep kongsi raya, deepa-raya atau konsep-konsep yang serupa
dengannya.
|
Rajah 1.1: Proses 4A
Perpaduan dan Integrasi
Dalam menangani
masalah integrasi sosial, Malaysia menggunakan pendekatan asimilasi dan
akomodasi. Pendekatan akomodasi bertujuan untuk memupuk dan mewujudkan nilai
bersama seperti penggubalan Rukun Negara dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan. Melalui pendekatan akomodasi
tiap-tiap etnik bebas mengamalkan cara hidup mereka secara aman. Proses
akomodasi adalah sangat penting dalam proses perpaduan dan integrasi kelompok
etnik di Malaysia (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:6). Akomodasi adalah proses
paling utama lagi kritikal yang sudah diterima dan dihayati oleh semua kelompok
etnik yang ada, sama ada secara peribadi atau kolektif. Ini terjadi kerana
sikap positif, dan saling menghormati antara kelompok etnik terhadap nilai dan
norma yang diamalkan oleh kelompok etnik lain yang wujud dalam kalangan
penduduk Malaysia. Melalui proses akomodasi, secara sedar atau tidak akan
menyebabkan berlakunya unsur akulturasi iaitu proses penyerapan atau pinjaman
unsur atau perlakuan budaya kelompok etnik lain dan diterima sebagai amalan
dalam kumpulan etnik tersebut, contohnya amalan memberi ‘angpow’ yang sudah
diterima sebagai budaya oleh semua kumpulan etnik di Malaysia. Proses
akulturasi ini mampu merubah tiang seri budaya, norma dan nilai sesuatu
kumpulan etnik. Dalam kes ini, etnik yang meminjam budaya mempunyai kelebihan
dengan menambah ritual budaya baru dalam kelompoknya.
Sejarah telah
membuktikan bahawa di Malaysia, terdapat kelompok etnik yang sedia dan sanggup
untuk berakomodasi dengan meminjam unsur-unsur budaya etnik lain, malah
bersedia menerima sebahagian besar budaya etnik lain untuk diaplikasikan
sebagai budaya etnik mereka. Kumpulan Cina peranakan di Melaka dan Sikh
peranakan di Sabah adalah contoh etnik yang terlibat dalam proses asimilasi.
Amalgamasi adalah satu proses yang amat berguna dan penting dalam usaha
pemupukan perpaduan dan integrasi, tetapi proses ini jarang berlaku dan amat
sukat untuk direalisasikan. Oleh itu agak sukar untuk memberi contoh bagi
menggambarkan bagaimana amalgamasi berlaku, mungkin idea sekolah wawasan boleh
dijadikan contoh, tetapi realitinya sekolah wawasan lebih kepada adunan antara
proses akomodasi dan akulturasi.
Berdasarkan
perbincangan, maka dapatlah disimpulkan bahawa proses pembentukan perpaduan dan
integrasi di Malaysia perlu mengambil kira proses 4A dalam setiap strategi yang
dicadangkan. Setiap komponen dalam proses 4A ternyata menggambarkan bahawa
wujud perpaduan dan integrasi di Malaysia. Cuma intensity perpaduan dan integrasi
ini berbeza-beza dalam setiap proses dan seringkali berlaku turun naik (Syamsul
Amri Baharuddin, 2008:7).
4.0
Halangan
Perpaduan dan Integrasi di Malaysia
Malaysia berhadapan
dengan cabaran untuk memupuk integrasi ke arah perpaduan sosial yang ampuh.
Menurut Schermerhon (1970:12) yang membezaakan antara satu kelompok etnik
dengan kelompok etnik yang lain adalah adat resam, pola-pola kekeluargaan dan
kekerabatan, agama, bahasa dan nilai kelompok etnik berkenaan. Sikap
etnosentrik akan lahir apabila ahli sesuatu kelompok etnik menganggap ciri-ciri
kebudayaan merekalah yang terbaik, benar dan hebat dari kelompok etnik lain.
Selepas merdeka kelompok etnik di Malaysia masih mempunyai wawasan
bercapah berasaskan perjuangan kaum dan etnik sempit yang boleh menggugat
proses perpaduan dan integrasi yang direncanakan oleh kerajaan. Sikap perkauman
yang kuat mempengaruhi pemikiran, sikap dan nilai tuntutan aspirasi dan
persaingan, prejudis, stereotaip dan diskriminasi dalam segala aspek antara kaum.
Semua elemen ini akan menyumbang kepada tercetusnya masalah dan konflik antara
etnik. Pengkhususan ekonomi dan pengasingan tempat tinggal akan mengurangkan
peluang perhubungan antara etnik, tetapi akan menimbulkan lebih banyak
prasangka etnik,stereotaip dan etnosentrisme dikalangan anggota-anggota
kumpulan etnik. Pengasingan tempat tinggal mengikut garis kumpulan etnik pula
akan membolehkan anggota tiap-tiap kumpulan etnik memelihara ‘my-group
privacy’ daripada kumpulan etnik
lain.
Berdasarkan rujukan yang dilakukan dan penelitian terhadap proses
pembentukan perpaduan dan integrasi, jelas bahawa terdapat lima elemen negatif
yang sememangnya wujud dalam jiwa setiap kelompok etnik di Malaysia.
Ethnosentrisme, stereotaip, diskriminasi, perkauman atau rasisme dan prasangka
atau prejudis adalah elemen-elemen yang menjadi penghalang utama kepada proses
perpaduan dan integrasi. Sikap, pandangan dan pemikiran yang menyelubungi
setiap kelompok etnik ini merupakan ‘silent elemen’ yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada
proses perpaduan dan integrasi, kehadiran elemen-elemen ini sukar untuk diduga,
malah kadang kala merebak dalam senyap dan sukar dikawal. Sikap atau tanggapan
negatif terhadap sesuatu kumpulan manusia atau ras yang berlainan boleh berlaku
dalam mana-mana kumpulan etnik apabila wujud perasaan tidak puas hati atau
terlalu besar hati. Elemen prasangka atau prejudis ini mungkin tidak akan
membesar impak besar jika pandangan
negative itu berlaku dalam skala yang kecil, tetapi jika sebaliknya ia akan
mencetuskan tragedi seumpama peristiwa 13 Mei 1969. Rajah 1.2 akan menjelaskan
perlakuan-perlakuan yang terkandung dalam elemen-elemen yang dinyatakan.
Prasangka/Prejudis
|
Sikap atau tanggapan
yang lazimnya bersifat negatif terhadap sesuatu kumpulan manusia atau ras
yang berlainan atau sikap yang dibentuk berdasarkan generalisasi yang tidak
rasional kerana kumpulan tersebut mempunyai kualiti tersebut. Ia melibatkan
pandangan negatif, yang tidak diluahkan secara terbuka dan tidak berasaskan
fakta yang jelas.
|
Perkauman/Rasisme
|
Pandangan, pemikiran
atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial atau para anggotanya
terhadap kelompok lain berdasarkan perbezaan wajah fizikal atau ras
semata-mata. Rasisme boleh berlaku pada dua tahap iaitu tahap individu
(kepercayaan dan sikap individu) dan tahap institusi (dasar pelaksanaan
bersifat diskriminasi atau membentuk ketidaksamaan.
|
Diskriminasi
|
Satu proses apabila
ahli sesuatu kumpulan atau kategori dalam masyaraakat dinafikan hak untuk
mendapat layanan yang saksama dari segi undang-undang dan hak untuk menikmati
manfaat sosial yang lain. Layanan berlainan diberikan kepada individu atau kumpulan
tertentu disebabkan faktor ras, agama, jantina, dan fahaman politik.
|
Stereotaip
|
Kenyataan umum tentang
sesuatu kumpulan etnik. Gambaran berlebihan tentang sesuatu perlakuan baik
dan buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik. Pandangan rendah
berteraskan interaksi dan semangat perkauman.
|
Ethnosentrisme
|
Kepercayaan atau
rasa bangga dalam kalangan anggota sesebuah kumpulan atau kelompok etnik
bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik daripada etnik lain.
|
Rajah 1.2: Faktor-Faktor Penghalang Perpaduan dan
Integrasi
5.0
Rumusan
Isu-isu yang berlegar
sekitar hubungan etnik terutamanya berkaitan perpaduan dan integrasi amat perlu
untuk difahami kerana jika diperhalusi daripada sudut sosiologi dan
antropologi, integrasi nasional membawa maksud minat yang semakin bertambah
dalam diri manusia untuk menyatukan kelompoknya demi survival kelompok tersebut
(Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:286). Sekiranya proses ini tidak
dilakukan kelompok tersebut akan musnah dan hancur. Justeru itu, integrasi
nasional dan perpaduan merupakan rukun survival yang perlu untuk meneruskan
kehidupan di dunia. Sehubungan itu, negara
memerlukan bangsa Malaysia yang bersatu
padu, berkongsi masa depan yang sama, hidup dalam keadaan yang harmoni dan
wujud perkongsian dengan cara yang sebenar dan adil.
Malaysia menggunakan
model integrasi dan plural dalam membina perpaduan etnik. Konsep pluraliti
budaya atau ‘cultural pluralism’ membenarkan setiap komuniti untuk mengamalkan
cara hidup dan budaya masing-masing termasuk penerimaan terhadap
perbezaan-perbezaan dalam aspek-aspek hidup yang sifatnya lebih peribadi seperti
makanan, social keluarga, amalan agama dan pembentukan organisasi social untuk
menjadi kepentingan kaum masing-masing.
Apa pun situasinya,
penghayatan terhadap konsep dan nilai integrasi dan perpaduan serta keupayaan
setiap individu dalam kumpulan etnik tertentu untuk mengadaptasi diri dengan
kepelbagaian etnik dan budaya merupakan strategi utama dan relevan dalam usaha
untuk mencapai matlamat perpaduan sosial, budaya dan politik yang dihadapi oleh
kebanyakkan Negara, termasuklah negara maju.
Rujukan
Ahmad
Ali Seman & Warti Kimi (2014). Hubungan
Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Freemind
Horizon Sdn. Bhd.
Furnival,
John. S. (1956). Colonial Policy and
Practise: A Comparative Study of Burma and Netherlands India. New York: New
York University Press.
Mohd
Ridhuan Tee Abdullah (2010). Cabaran
Integrasi Antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan.
Jurnal Hadhari. Bil 6, 61-84.
Mohd
Sohaimi Esa, Dayu Sansalu & Budi Anto Mohd Tamring (2011). Hubungan Etnik: Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa. Puchong, Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Syamsul
Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan
Etnik. Shah Alam: Universiti Teknonogi Mara.
Syamsul
Amri Baharuddin ( 18 Oktober 2008). Hubungan
Etnik di Malaysia:Mencari dan Mengekal Kejernihan dalam Kekeruhan. Kertas
Latar dibentangkan di Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan. Kota Kinabalu,
Sabah.
Ting
Chew Peh (1987). Hubungan Ras dan Etnik.
Kuala Lumpur: Pustaka Dimensi.