Ahad, 18 Mei 2014

Perpaduan dan Integrasi di Malaysia



     
Perpaduan dan Integrasi di Malaysia:  Memahami Konsep Merancang Hasrat.

Mohamad Rashid  Abu Bakar

Abstrak

Kekeruhan hubungan etnik di Malaysia dikatakan mula tercetus selepas Perang Dunia ke Dua, dan sejak itu kita tidak pernah berhenti berusaha untuk menjernihkan kekeruhan dan mengekalkan mutiara-mutiara kejernihan yang mampu kita tangguk dari kekeruhan tersebut. Justeru dalam suasana begini dua kalimah keramat yang menghantui kehidupan sosial dalam masyarakat adalah ‘Perpaduan dan Integrasi’. Pelbagai pihak, sama ada kerajaan, masyarakat dan individu seolah mengidamkan dua kalimah keramat ini mampu menjadi realiti dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Keghairahan dan kegelisahan untuk merealitikan hasrat ini, kadang kala menyebabkan kita tidak rasional dan cukup emosional dalam membincangkan isu perpaduan dan integrasi. Sehubungan itu, artikel pendek ini akan cuba mengupas realiti berkaitan perpaduan dan integrasi serta konsep-konsep asas yang tersembunyi disebalik dua kalimah keramat ini. Hasilnya mungkin mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap konsep dan proses pembentukan perpaduan dan integrasi secara menyeluruh dan lebih terarah.

Kata Kunci:  perpaduan dan integrasi, akomodasi, akulturasi, amalgamasi, asimilasi, ethnosentrisme, rasisme, prejudis, diskriminasi.

1.0              Pengenalan

Perpaduan dan integrasi merupakan dua isu yang menjadi agenda utama negara sejak awal kemerdekaan malah berterusan sehingga kini. Kesungguhan  untuk merealisasikan proses pembentukan perpaduan dan integrasi menjadikan kita kadang kala tidak rasional dan cukup emosional malahan pada ketika tertentu mewujudkan  suasana tegang, gelisah, dan seolah wujud sindrom ‘psychological panic’ apabila ada pihak merasakan bahawa keamanan dan muhibah yang kita nikmati, kita megahkan dan kita canangkan keseluruh dunia kini semakin terancam, akan terungkai dan terburai satu demi satu (Syamsul Amri Baharuddin, 2008). Suasana sebegini menyebabkan kadangkala kita tersasul dengan mengambil  tindakan yang tergopoh-gapah (knee-jerk reaction) dan kadang kala melatah untuk mencari jalan penyelesaian segera (instant solution) untuk mengatasi segala permasalahan. Proses untuk mencapai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berintegrasi bukanlah sesuatu yang mudah, malah integrasi itu sendiri adalah satu proses yang amat kompleks (Mohd Sohaimi et. al., 2011:19).

Sehubungan itu, untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diintegrasikan secara syumul, memerlukan satu dasar (foundation) yang kukuh dan jelas. Pemahaman  terhadap kehendak dan makna yang tersembunyi disebalik konsep perpaduan dan integrasi itu sendiri perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam merancang dan melaksanakan program-program perpaduan dan integrasi. Sebagai satu usaha yang boleh disumbangkan untuk memberi pemahaman berkaitan konsep perpaduan dan integrasi maka kajian ringkas ini akan cuba membincangkan secara akademik konsep-konsep asas berkaitan proses perpaduan dan integrasi untuk difahami, dihayati dan dikongsi oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Untuk mencapai matlamat pembentukan negara bangsa yang bersatu padu, setiap individu tanpa mengira etnik  perlu membina pemahaman yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘perpaduan dan integrasiyang ingin dibina dalam konteks negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

2.0              Konsep Perpaduan dan Integrasi

Cabaran utama kepada golongan pemikir, pemerintah, pemimpin masyarakat dan cendiakiawan di Malaysia adalah untuk menjana kefahaman dan membina strategi untuk terus menerus memantau dan menilai keadaan hubungan antara etnik. Menurut Syamsul Amri Baharuddin (2008:3) sebelum kita mampu melaksanakan atau merealisasikan bentuk perpaduan dan integrasi secara berkesan, kita perlu membina kefahaman yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘perpaduan dan integrasi’. Pada dasarnya hubungan etnik di Malaysia mempunyai asas ‘perpaduan dan integrasi yang mendalam dan kuat terutamanya yang terbina selepas peristiwa 13 Mei 1969 (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:3). Oleh itu, adalah penting kepada kita untuk memahami secara mendalam tentang perpaduan dan integrasi serta proses bagaimana pembentukan kedua-duanya berlaku dan apakah halangan-halangan yang membataskan proses pembentukannya. Sehubungan itu, perbincangan akan cuba mengupas cakupan makna untuk memberi pemahaman kepada umum tentang konsep perpaduan dan integrasi di Malaysia.

Perpaduan merujuk kepada proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga terhadap negara (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:48; Syamsul Amri Baharuddin, 2007). Perpaduan (unity) lawannya perpecahan (disunity), malah menurut Syamsul Amri Baharuddin (2008:3) perpaduan yang diidam-idamkan di Malaysia akan tercapai melalui pengembelengan ciri-ciri kepelbagai (diversity) yang wujud dalam masyarakat.

Unsur perpecahan (disunity) pula berpunca daripada faktor kelas sosial yang mencirikan susun lapis masyarakat. Ia adalah sesuatu yang universal dan wujud dalam semua masyarakat di dunia. Setiap kelas sosial mempunyai kepentingan yang berbeza, malahan pertentangan kepentingan dan kehendak antara kelas sosial yang berbeza ini terus menerus berlaku dan sukar untuk diduga. Proses  tarik tali antara perpecahan (disunity) dan  kepelbagai (diversity) yang berterusan dalam masyarakat berlaku akibat sulaman interaksi faktor kelas, kepentingan etnik dan perbezaan gaya hidup antara kelas dalam etnik yang berbeza (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:4).

Maka bolehlah disimpulkan bahawa konsep perpaduan yang dianjurkan dan realiti sosial yang menjadi acuannya adalah bersifat abstrak dan nyata sekali gus. Ini bermaksud kita mampu membina perpaduan melalui strategi tertentu dan pada masa yang sama wujud faktor-faktor penghalang yang sukar kita duga dan boleh menghancurkan perpaduan yang dibina dalam sekelip mata. Oleh itu, bagi memastikan kelangsungan perpaduan kita menyedari elemen-elemen penghalang yang wujud dalam realiti sosial masyarakat pelbagai etnik.

Integrasi pula merujuk kepada proses untuk mewujudkan satu identiti nasional dalam kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Menurut Syamsul Amri Baharuddin (2007) integrasi adalah proses menggabungkan masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Noriati A. Rashid (2010) pula menyatakan bahawa integrasi nasional adalah proses penyatuan antara kumpulan yang berbeza dari segi latar belakang, status sosial dan budaya dalam membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma disamping mengamalkan kehidupan bersama. Integrasi merupakan satu proses yang berlaku hasil daripada ikatan perasaan antara manusia yang berbentuk kerohanian atau spiritual yang terhasil daripada satu penghayatan yang akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati yang jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional juga merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011 : 179-180).

 Integrasi adalah satu proses yang amat kompleks dalam tahap-tahap hubungan etnik dan boleh dilihat dari darjah kedekatan bermula dengan hubungan yang terpisah (segregasi) sehinggalah mencapai tahap hubungan yang sebati (amalgamasi). Hubungan yang rapat antara wilayah yang terpisah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan nilai, seterusnya mampu mengurangkan konflik, mengutamakan persefahaman dan mewujudkan perasaan harmonis (Ting Chew Peh, 1987).

Integrasi (integration) pula lawannya adalah segregasi (segregation). Proses segregasi (pemisahan) dalam masyarakat dikatakan berlaku akibat daripada dasar pecah dan perintah pihak British. Bentuk segregasi yang jelas berlaku adalah pemisahan ruang fizikal dan segregasi inilah yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan melalui melalui dasar-dasar sedia ada atau yang bakal dibentuk.  Namun begitu proses ini tidak sepenuhnya dapat direalisasikan melalui dasar sedia ada kerana ia bergantung kepada banyak faktor lain seperti harga rumah, saiz keluarga, kemampuan memiliki, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Jika digabungkan perkataan ‘perpaduan dan integrasimaka ia akan membawa maksud  proses untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan politik. Dalam konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak banyak melibatkan unsur-unsur asimilasi, tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan akulturasi (Mohd Ridhuan Tee, 2010:62). Secara umumnya perpaduan merujuk kepada suatu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dan member komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara (Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992).

3.0               Proses Perpaduan dan Integrasi

Proses pembentukan perpaduan adalah satu usaha yang berterusan bermula daripada segregasi kepada kesepaduan sosial melalui proses integrasi.. Segregasi adalah pemahaman yang mengasingkan etnik-etnik mengikut kumpulan masing-masing dan tidak berlaku interaksi antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Segregasi  boleh berlaku dalam masyarakat melalui  (i) pengasingan tempat tinggal, (ii) pengasingan pekerjaan, (iii) perbezaan tumpuan sektor ekonomi, (iv) pengasingan sistem persekolahan, (v) perbezaan kepercayaan dan agama, (iv) masalah ekonomi, (vi) fahaman politik yang berbeza dan (v) penggunaan akhbar yang berbeza (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:3). Perubahan daripada segregasi kepada integrasi akan membawa kumpulan minoriti dan majoriti untuk bersama-sama dalam pembangunan negara. Integrasi yang berlaku juga tidak akan menghapuskan identiti, budaya, agama, kepercayaan, bahasa dan hak hidup kumpulan majoriti ataupun kumpulan minoriti.

Syamsul Amri Baharuddin (2008:5) telah mengariskan empat proses penting yang relevan dan perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam program perpaduan dan integrasi di Malaysia. Empat proses tersebut dapat diperjelas mengikut hirarki seperti ditunjukkan dalam rajah 1.



AmaIgamasi
Proses yang dilakukan secara “interventionist” dan sedar oleh beberapa kumpulan etnik atau pemerintah untuk mencantumkan beberapa unsur berbeza daripada kumpulan etnik yang berbeza dalam satu entiti yang bersatu sama ada secara sementara atau kekal. Contoh projek sekolah wawasan.

Asimilasi
Proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik yang berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok kebudayaan dan identiti yang sama atau satu versi daripada kelompok dominan. Contoh komuniti peranakan (baba-nyonya).

Akulturasi
Proses penerimaan dan pinjaman unsur atau perlakuan budaya antara kelompok etnik yang berbeza.Contoh pakaian, makanan atau apa-apa yang sesuai dengan norma dan nilai kumpulan etnik yang meminjam.

Akomodasi
Proses yang melibatkan beberapa kumpulan etnik yang menyedari bahawa mereka adalah berbeza, namun menghormati norma dan nilai kolektif antara satu sama lain. Contoh konsep kongsi raya, deepa-raya atau konsep-konsep yang serupa dengannya.

Rajah 1.1: Proses 4A Perpaduan dan Integrasi


Dalam menangani masalah integrasi sosial, Malaysia menggunakan pendekatan asimilasi dan akomodasi. Pendekatan akomodasi bertujuan untuk memupuk dan mewujudkan nilai bersama seperti penggubalan Rukun Negara dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Melalui pendekatan  akomodasi tiap-tiap etnik bebas mengamalkan cara hidup mereka secara aman. Proses akomodasi adalah sangat penting dalam proses perpaduan dan integrasi kelompok etnik di Malaysia (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:6). Akomodasi adalah proses paling utama lagi kritikal yang sudah diterima dan dihayati oleh semua kelompok etnik yang ada, sama ada secara peribadi atau kolektif. Ini terjadi kerana sikap positif, dan saling menghormati antara kelompok etnik terhadap nilai dan norma yang diamalkan oleh kelompok etnik lain yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia. Melalui proses akomodasi, secara sedar atau tidak akan menyebabkan berlakunya unsur akulturasi iaitu proses penyerapan atau pinjaman unsur atau perlakuan budaya kelompok etnik lain dan diterima sebagai amalan dalam kumpulan etnik tersebut, contohnya amalan memberi ‘angpow’ yang sudah diterima sebagai budaya oleh semua kumpulan etnik di Malaysia. Proses akulturasi ini mampu merubah tiang seri budaya, norma dan nilai sesuatu kumpulan etnik. Dalam kes ini, etnik yang meminjam budaya mempunyai kelebihan dengan menambah ritual budaya baru dalam kelompoknya.

Sejarah telah membuktikan bahawa di Malaysia, terdapat kelompok etnik yang sedia dan sanggup untuk berakomodasi dengan meminjam unsur-unsur budaya etnik lain, malah bersedia menerima sebahagian besar budaya etnik lain untuk diaplikasikan sebagai budaya etnik mereka. Kumpulan Cina peranakan di Melaka dan Sikh peranakan di Sabah adalah contoh etnik yang terlibat dalam proses asimilasi. Amalgamasi adalah satu proses yang amat berguna dan penting dalam usaha pemupukan perpaduan dan integrasi, tetapi proses ini jarang berlaku dan amat sukat untuk direalisasikan. Oleh itu agak sukar untuk memberi contoh bagi menggambarkan bagaimana amalgamasi berlaku, mungkin idea sekolah wawasan boleh dijadikan contoh, tetapi realitinya sekolah wawasan lebih kepada adunan antara proses akomodasi dan akulturasi.

Berdasarkan perbincangan, maka dapatlah disimpulkan bahawa proses pembentukan perpaduan dan integrasi di Malaysia perlu mengambil kira proses 4A dalam setiap strategi yang dicadangkan. Setiap komponen dalam proses 4A ternyata menggambarkan bahawa wujud perpaduan dan integrasi di Malaysia. Cuma intensity perpaduan dan integrasi ini berbeza-beza dalam setiap proses dan seringkali berlaku turun naik (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:7).

4.0             Halangan Perpaduan dan Integrasi di Malaysia

        Malaysia berhadapan dengan cabaran untuk memupuk integrasi ke arah perpaduan sosial yang ampuh. Menurut Schermerhon (1970:12) yang membezaakan antara satu kelompok etnik dengan kelompok etnik yang lain adalah adat resam, pola-pola kekeluargaan dan kekerabatan, agama, bahasa dan nilai kelompok etnik berkenaan. Sikap etnosentrik akan lahir apabila ahli sesuatu kelompok etnik menganggap ciri-ciri kebudayaan merekalah yang terbaik, benar dan hebat dari kelompok etnik lain.

          Selepas merdeka kelompok etnik di Malaysia masih mempunyai wawasan bercapah berasaskan perjuangan kaum dan etnik sempit yang boleh menggugat proses perpaduan dan integrasi yang direncanakan oleh kerajaan. Sikap perkauman yang kuat mempengaruhi pemikiran, sikap dan nilai tuntutan aspirasi dan persaingan, prejudis, stereotaip dan diskriminasi dalam segala aspek antara kaum. Semua elemen ini akan menyumbang kepada tercetusnya masalah dan konflik antara etnik. Pengkhususan ekonomi dan pengasingan tempat tinggal akan mengurangkan peluang perhubungan antara etnik, tetapi akan menimbulkan lebih banyak prasangka etnik,stereotaip dan etnosentrisme dikalangan anggota-anggota kumpulan etnik. Pengasingan tempat tinggal mengikut garis kumpulan etnik pula akan membolehkan anggota tiap-tiap kumpulan etnik memelihara ‘my-group privacy’  daripada kumpulan etnik lain.

         Berdasarkan rujukan yang dilakukan dan penelitian terhadap proses pembentukan perpaduan dan integrasi, jelas bahawa terdapat lima elemen negatif yang sememangnya wujud dalam jiwa setiap kelompok etnik di Malaysia. Ethnosentrisme, stereotaip, diskriminasi, perkauman atau rasisme dan prasangka atau prejudis adalah elemen-elemen yang menjadi penghalang utama kepada proses perpaduan dan integrasi. Sikap, pandangan dan pemikiran yang menyelubungi setiap kelompok etnik ini merupakan ‘silent elemen’  yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada proses perpaduan dan integrasi, kehadiran elemen-elemen ini sukar untuk diduga, malah kadang kala merebak dalam senyap dan sukar dikawal. Sikap atau tanggapan negatif terhadap sesuatu kumpulan manusia atau ras yang berlainan boleh berlaku dalam mana-mana kumpulan etnik apabila wujud perasaan tidak puas hati atau terlalu besar hati. Elemen prasangka atau prejudis ini mungkin tidak akan membesar impak besar jika  pandangan negative itu berlaku dalam skala yang kecil, tetapi jika sebaliknya ia akan mencetuskan tragedi seumpama peristiwa 13 Mei 1969. Rajah 1.2 akan menjelaskan perlakuan-perlakuan yang terkandung dalam elemen-elemen yang dinyatakan.
       


Prasangka/Prejudis
Sikap atau tanggapan yang lazimnya bersifat negatif terhadap sesuatu kumpulan manusia atau ras yang berlainan atau sikap yang dibentuk berdasarkan generalisasi yang tidak rasional kerana kumpulan tersebut mempunyai kualiti tersebut. Ia melibatkan pandangan negatif, yang tidak diluahkan secara terbuka dan tidak berasaskan fakta yang jelas.


Perkauman/Rasisme
Pandangan, pemikiran atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial atau para anggotanya terhadap kelompok lain berdasarkan perbezaan wajah fizikal atau ras semata-mata. Rasisme boleh berlaku pada dua tahap iaitu tahap individu (kepercayaan dan sikap individu) dan tahap institusi (dasar pelaksanaan bersifat diskriminasi atau membentuk ketidaksamaan.

Diskriminasi
Satu proses apabila ahli sesuatu kumpulan atau kategori dalam masyaraakat dinafikan hak untuk mendapat layanan yang saksama dari segi undang-undang dan hak untuk menikmati manfaat sosial yang lain. Layanan berlainan diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu disebabkan faktor ras, agama, jantina, dan fahaman politik.

Stereotaip
Kenyataan umum tentang sesuatu kumpulan etnik. Gambaran berlebihan tentang sesuatu perlakuan baik dan buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik. Pandangan rendah berteraskan interaksi dan semangat perkauman.

Ethnosentrisme
Kepercayaan atau rasa bangga dalam kalangan anggota sesebuah kumpulan atau kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik daripada etnik lain.

Rajah 1.2: Faktor-Faktor Penghalang Perpaduan dan Integrasi


5.0              Rumusan

Isu-isu yang berlegar sekitar hubungan etnik terutamanya berkaitan perpaduan dan integrasi amat perlu untuk difahami kerana jika diperhalusi daripada sudut sosiologi dan antropologi, integrasi nasional membawa maksud minat yang semakin bertambah dalam diri manusia untuk menyatukan kelompoknya demi survival kelompok tersebut (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:286). Sekiranya proses ini tidak dilakukan kelompok tersebut akan musnah dan hancur. Justeru itu, integrasi nasional dan perpaduan merupakan rukun survival yang perlu untuk meneruskan kehidupan di dunia. Sehubungan itu,  negara memerlukan bangsa Malaysia  yang bersatu padu, berkongsi masa depan yang sama, hidup dalam keadaan yang harmoni dan wujud perkongsian dengan cara yang sebenar dan adil.

Malaysia menggunakan model integrasi dan plural dalam membina perpaduan etnik. Konsep pluraliti budaya atau  ‘cultural pluralism’  membenarkan setiap komuniti untuk mengamalkan cara hidup dan budaya masing-masing termasuk penerimaan terhadap perbezaan-perbezaan dalam aspek-aspek hidup yang sifatnya lebih peribadi seperti makanan, social keluarga, amalan agama dan pembentukan organisasi social untuk menjadi kepentingan kaum masing-masing.

Apa pun situasinya, penghayatan terhadap konsep dan nilai integrasi dan perpaduan serta keupayaan setiap individu dalam kumpulan etnik tertentu untuk mengadaptasi diri dengan kepelbagaian etnik dan budaya merupakan strategi utama dan relevan dalam usaha untuk mencapai matlamat perpaduan sosial, budaya dan politik yang dihadapi oleh kebanyakkan Negara, termasuklah negara maju.


Rujukan

Ahmad Ali Seman & Warti Kimi (2014). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur:    Freemind Horizon Sdn. Bhd.

Furnival, John. S. (1956). Colonial Policy and Practise: A Comparative Study of Burma and Netherlands India. New York: New York University Press.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah (2010). Cabaran Integrasi Antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan. Jurnal Hadhari. Bil 6, 61-84.

Mohd Sohaimi Esa, Dayu Sansalu & Budi Anto Mohd Tamring (2011). Hubungan Etnik:         Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Syamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Universiti Teknonogi Mara.

Syamsul Amri Baharuddin ( 18 Oktober 2008). Hubungan Etnik di Malaysia:Mencari dan Mengekal Kejernihan dalam Kekeruhan. Kertas Latar dibentangkan di Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan. Kota Kinabalu, Sabah.

Ting Chew Peh (1987). Hubungan Ras dan Etnik. Kuala Lumpur: Pustaka Dimensi.

2 ulasan: