Ahad, 18 Mei 2014

Dasar Pecah dan Perintah British



Dasar Pecah dan Perintah British: Kesinambungan Hubungan Etnik di Malaysia

Mohamad Rashid  Abu Bakar
mohamad_rashid@ipsah.edu.my


Abstrak

Dalam konteks pemerintahan British, imigrasi penduduk telah mewujudkan pluralisme ekonomi dan masyarakat di Tanah Melayu. Pluralisme Ekonomi bermaksud pembahagian dan identifikasi pekerjaan mengikut kaum yang berasaskan tanggapan bercorak perkauman. Dasar perkauman merupakan asas dalam pelaksanaan dasar pemerintahan British di Tanah Melayu. Dasar pecah dan perintah yang diamalkan telah mewujudkan pandangan stereotaip bersama dengan garisan etnik, fungsi ekonomi dalam orde ekonomi baharu yang mendasari kepentingan politik dan ekonomi British. Sehubungan itu, artikel ini akan membincangkan perkaitan antara dasar pecah dan perintah dengan kesinambungan hubungan antara etnik di Malaysia.

kata kunci: pluralisme, stereotaip, orde, imigrasi

1.0        Pendahuluan

           Secara rasminya kedatangan British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1786 setelah Francis Light menduduki Pulau Pinang dan perluasan wilayah sehingga ke Seberang Perai berlaku dengan termeterainya perjanjian pada tahun 1800. Kedatangan kuasa Eropah ke Alam Melayu dengan misi serampang tiga mata iaitu untuk mengembangkan agama Kristian (gospel), mencari kekayaan (gold) dan mencapai kemegahan (glory). Bagi memastikan kelangsungan  penguasaan politik dan ekonomi, pihak British telah melaksanakan  dasar “pecah dan perintah” dalam pentadbiran.  Peranan pentadbiran British dalam mewujudkan masyarakat berbilang kaum dan dasar diskriminasi juga telah menyumbang kepada berlakunya kepincangan perpaduan antara kaum terbesar di Tanah Melayu iaitu kaum Melayu, Cina dan India.Selain itu, kedatangan British turut menyebabkan masalah ekonomi dalam masyarakat pluralisme yang berlaku dengan jelas melalui pentadbiran pecah dan perintah yang dilaksanakan dalam pekerjaan penduduk pelbagai kaum di alam Melayu. Akibatnya, kedatangan pihak Inggeris sesungguhnya hanya sekadar mengaut  keuntungan di Tanah Melayu dan manfaat yang seharusnya diperolehi kaum pribumi dinafikan misalnya keuntungan pertanian, penguasaan tanah, hasil perlombongan, kemudahan pendidikan dan infrastruktur perbandaran. Inilah manfaat yang sepatutnya dinikmati penduduk pribumi tetapi dinafikan oleh pihak pentabir kolonial.Kesimpulannya, kedatangan British telah menyebabkan pelbagai impak yang menjadi titik tolak berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

2.0        Dasar Pecah dan Perintah

      Sewaktu tempoh penjajahan, British telah membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang meliputi aspek sosial, ekonomi, dan politik.Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung ataupun tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru itu, pada bahagian ini saya akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British sehingga mengubah sistem kehidupan masyarakat Melayu yang sedia ada. Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British adalah berasaskan dasar ‘pecah dan perintah’.Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara lain, dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu bukan melalui paksaan.Ia dilakukan secara berhati-hati dan perlahan-lahan seolah-olah ianya berlaku secara semula jadi.

    Sehubungan ini, dasar pecah dan perintah (Divide and Rule) yang digagaskan oleh kerajaan British di Tanah Melayu telah menyebabkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai ras dan kaum berpecah dan dimanipulasikan mengikut kepentingan British.Kaum-kaum utama yang wujud pada masa itu yang terdiri daripada tiga teks kod rumpun utama iaitu Melayu, Cina dan India dikelaskan mengikut jenis pekerjaan dan sistem pendidikan yang berbeza-beza.Melalui dasar ini, orang melayu ditempatkan di kawan luar bandar yang kebanyakan mencari rezeki dengan menjadi nelayan dan petani.Manakala kaum Cina pula menetap di kawasan bandar dan menguasai segala aktiviti ekonomi serta melibatkan diri dalam bidang perlombongan yang begitu mnguntungkan.Masyarakat India pula tinggal dan bekerja di pinggir bandar yakni di ladang-ladang sebagai penggerak utama industri perladangan pada waktu itu. Masyarakat petani berbangsa Melayu, peniaga Cina dan juga buruh ladang berketurunan India pada ketika itu merasa curiga antara satu sama lain serta tidak berkomunikasi secara langsung disebabkan oleh taktik kotor yang diterapkan oleh British.

         Natijahnya, dasar ini telah menyebabkan perpaduan dan perasaan saling ingin hidup bersama tidak berlaku di Tanah Melayu. Secara keseluruhannya, pelaksanaan dasar pecah dan perintah telah menjadi strategi yang paling berkesan dan efektif untuk menghalang kumpulan kecil di Tanah Melayu untuk berinteraksi secara natural sesama kaum pada ketika pemerintahan British yang menjadi tonggak utama goyahnya perpaduan antara kaum.

3.0     Implikasi Dasar Pecah Perintah dan Hubungan Etnik di Malaysia

         Jurang perbezaan ekonomi dan sosial kalangan kaum di Malaysia sering dikatakan akibat dasar pecah dan perintah oleh penjajah Inggeris.Terdapat dua keadaan yang memungkinkan keadaan ini iaitu Inggeris sengaja memisahkan kaum-kaum bagi mengelakkan dan menyekat sebarang usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan terhadap penjajahan dan Inggeris perlu mengekalkan penduduk peribumi di kampung-kampung serta mengekalkan aktiviti pertanian orang Melayu bagi memastikan bekalan makanan penduduk Tanah Melayu tidak terjejas.Tindakan membawa masuk pekerja asing adalah bagi mengelakkan penduduk pribumi meninggalkan aktiviti pertanian.Akibat daripada dasar pecah dan perintah mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, interaksi sosial yang terpisah-pisah dan kemuncaknya telah berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

3.1    Pemisahan Tempat Tinggal dan Petempatan

   Masyarakat tidak akan wujud tanpa kehidupan secara berkelompok. Adalah mustahil seseorang individu mampu menyediakan keperluan hidupnya tanpa bergantung pada individu lain. Oleh itu kehidupan berkelompok membolehkan satu anggota masyarakat berinteraksi dengan anggota yang lain dan bergantung hidup dengan anggota masyarakat yang lain.

   Kesan daripada dasar penjajahan British yang pertamaiaitu  pemisahantempat tinggal dan penempatan. Pemisahan ini wujud akibat daripada dasar ‘pecah dan perintah' yang diamalkan oleh penjajah British pada masa tersebut.Pemisahan ini juga menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih kerap kerana tinggal di wilayah yang berbeza.

    Pada era ini pengenalan kaum diidentifikasikan mengikut tempat tinggal dan kegiatan ekonominya iaitu kebanyakan kaum Melayu tinggal di kawasan luar bandar dan bergiat dalam sektor pertanian.Sepanjang tempoh penjajahan British di Tanah Melayu, pihak British selalu menegaskan supaya kependudukan dan budaya hidup orang Melayu tidak di ganggu. Inggeris berpendapat supaya orang Melayu di kekalkan di kampung-kampung dan mengamalkan cara hidup bertani,bertukang atau nelayan. Oleh itu, orang Melayu tidak di galakkan berhijrah ke kawasan-kawasan perlombongan, ladang atau ke bandar untuk bekerja dengan Inggeris.Lokasi kaum Melayu pada zaman pemerintahan ini tertupuh di negeri Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Pahang. Manakala, kaum Cina pula bergiat dalam ekonomi moden iaitu berpusat di bandar dan kawasan yg pesat membangun terutamanya di negeri Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Kaum India pula kebanyakannya tertumpu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.Pola kependudukan ini secara tidak langsung telah memisahkan kelompok-kelompok etnik ini dan menunjukkan ketidakseimbangan taburan antara etnik.

Kesimpulannya, hal ini telah merenggangkan perhubungan dan interaksi serta memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota setiap etnik di Tanah Melayu. Keadaan ini seterusnya telah menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan kejahilan dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.

3.2      Perbezaan Tumpuan Sektor Ekonomi

     Kesan penjajahan British dari aspek ekonomi, dapat dilihat melalui kewujudan sistem ekonomi dualisme. Sistem ekonomi dualisme merujuk kepada dua tumpuan ekonomi yang berbeza namun ianya bergerak seiringan dengan garis etnik (Dipetik daripada Ekonomi Malaysia edisi kedua : Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin Hasan, 1985).Dua bentuk eksploitasi ekonomi utama yang dilakukan oleh penjajah ialah perlombongan dan perladangan getah.Kajian yang di buat memperlihatkan Melayu ketika awal kemerdekaan agak mundur berbanding etnik Cina. Malah etnik India dilihat agak mundur akibat Dasar Pecah Perintah yang diamalkan oleh British pada ketika itu(Dipetik daripada Ekonomi Malaysia edisi kedua : Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin Hasan, 1985). British juga telah menyusun kawasan-kawasan yang tertentu untuk diusahakan oleh etnik-etnik tertentu di Tanah Melayu. Sebagai contoh, etnik melayu di berikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja mereka mahu dan mereka hanya meneruskan ekonomi sara diri seperti bercucuk tanam, bersawah, ke hutan, ke laut manakala golongan Melayu elite diberi peluang membantu pentadbiran British.

      Impak dari pemerintahan British kita tidak dapat menafikan bahawa British mengambil langkah yang sangat berhati-hati dengan memisahkan etnik ini dari bergaul antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah sehingga hari ini sentimen perkauman masih kuat dan jurang ekonomi juga ketara antara tiga etnik utama ini.Tambahan pula, etnik di Sabah dan Sarawak mengalami situasi yang hampir sama seperti mana etnik Melayu di Semenanjung cuma perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak masih tidak meluas kerana faktor geografi yang berbukit –bukau menyukarkan pembangunan dilaksanakan.

    Dalam hal ini, masalah ekonomi kadar kemiskinan juga turut bertambah disebabkan sistem etnik ini.Sistem ekonomi penjajah tertumpu kepada perdagangan moden yang berasaskan perusahaan getah dan perlombongan bijih timah. Sistem ekonomi ini berasaskan pasaran bandar dan diletakkan di bawah kawalan British.Sistem ini banyak melibatkan kumpulan etnik Cina dan India.Manakala sistem ekonomi tradisional ialah sektor pertanian di mana komoditi utamanya ialah penanaman padi dan perikanan.Teknik pengeluaran, pemasaran, dan tenaga kerja didominasi oleh etnik melayu dengan berteraskan budaya Melayu luar bandar atau budaya Melayu tradisional.Secara tidak langsung, ekonomi dualisme ini telah melambangkan agihan tenaga kerja mengikut tiga etnik utama di Malaysia.

Tuntasnya, kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang berbeza anatara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati  dan persaingan ekonimi secara tidak sihat dan pada kemuncaknya berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.

3.3     Pengasingan Sistem Pendidikan

    Hala tuju pendidikan semasa zaman penjajahan British bertujuan untuk menyekat peluang orang Melayu daripada mengembangkan bakat mereka dan untuk memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara.Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan British ialah bersifat bebas atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan dan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam.

     Sehubungan itu, terdapat tiga peringkat pendidikan iaitu pendidikan British rendah dan menengah dihadiri oleh kanak-kanak bangsawan Melayu dan hartawan Cina dan India.Seterusnya, terdapat sekolah Melayu peringkat rendah dibantu oleh British dengan matlamat menjadikan mereka sebagai petani yang lebih baik daripada ibu bapa mereka.Peringkat yang ketiga ialah wujudnya sekolah vernakular Cina dan India yang berdasarkan negara asal masing-masing.Setiap jenis sekolah tersebut mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza.

     Selain perbezaan dalam aliran pendidikan, kerencaman sistem pendidikan juga dapat dilihat daripada sudut kurikulum, sukatan mata pelajaran serta orientasi matlamatnya.Sehubungan itu, aliran pendidikan Cina dan India, kurikulum, sukatan mata pelajaran dan orientasinya berkiblatkan negara asal mereka.Keadaan ini menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama.

    Ini telah menyebabkan tiada keseragaman dari segi identiti dan fahaman kerana negara China contohnya mengamalkan fahaman komunisme dan silibus yang diambil dari Negara China mempunyai unsur-unsur komunisme tetapi lain pula dengan kaum lain yang berteraskan fahaman yang lain.  Selain itu tidak terdapat satu bahasa pengantar yang seragam telah menyebabkan setiap kaum hanya tahu bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja.Ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang telah menggugat perpaduan kaum.Ini telah memberikan satu impak buruk dalam pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.

     Kesimpulannya, kewujudan sistem pendidikan dalam zaman Inggeris ini telah mewujudkan polarisasi di Tanah Melayu.Penubuhan sekolah-sekolah vernakular yang berasaskan kepentingan kaum masing-masing ini telah membawa pemisahan yang sangat ketara antara penduduk di Tanah Melayu.Sistem pendidikan yang bersifat perkauman yang kuat ini menyebabkan polarisasi di Tanah Melayu begitu ketara sekali.

3.4     Fahaman Politik  Berbeza

    Di negara ini terdapat pelbagai parti politik yang berasaskan kumpulan etnik dan setiap parti politik akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik yang diwakilinya. Politik perkauman ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak. Jika isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi dibangkitkan, maka tindakan ini tidak akan menyumbang kearah masyarakat yang bersatu padu.

    Sehubungan itu, struktur masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbagai-bagai kaum telah melahirkan  banyak persatuan-persatuan politik sosial dan ekonomi yang berasakan kaum masing-masing. Perkara ini telah memeperkuatkan lagi rasa syak wasangka di antara satu sama lain kerana persatuan-persatuan ini hanya memperjuangkan kepentingan kumpulan kaum yang diwakilinya sahaja tanpa menghiraukan kaum-kaum yang lain. Parti-parti politik yang berbentuk perkauman seringkali mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan kaum hingga menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara antara satu kaum dengan kaum yang lain.

3.5     Perbezaan Kepercayaan dan Nilai

Sejak zaman pemerintahan Britishsehingga tahun 1969 terdapat pelbagai perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan dalam masyarakat di Tanah melayu.Setiap kumpulan etnik mempertahankan kebudayaan dan adat resam mereka, mengutamakan etnik mereka dan mungkin juga menganggap kebudayaan mereka sahaja yang terbaik. Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan natijah akhirnya akan mewujudkan polarisasi antara etnik. Selain daripada itu kewujudan akhbar yang pelbagai bahasa dengan mengutamakan kelompok etnik mereka akan memperkukuhkan lagi perasaan kumpulan etnik masing-masing. Cabaran dari segi kepentingan nilai ini akan mewujudkan masalah yang lebih besar jika fahaman etnosentrisme itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, perbezaan budaya dan agama merupakan salah satu lagi punca berlakunya  masalah perpaduan kaum di Malaysia. Kaum Melayu sebahagan besarnya beragama Islam, kaum Cina beragama sama ada Buddha, Lao-Tze, Taoisme, Confucius manakala kaum India beragama Hindu. Disamping itu terdapat ramai juga yang beragama Kristian.Setiap kaum pula mempunyai kebudayaan yang berlainan dan ini menambahparahkan lagi masalah perpaduan kaum di Malaysia.

    Masalah perpaduan ini bukannya bermula disebabkan agama yang dianuti oleh kaum-kaum yang terdapat di Malaysia menggalakkan penganutnya memusuhi agama lain tetapi ia berpunca dari sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi  penganut agama lain. Kesimpulannya, inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969 berlaku


4-0     Rumusan

Penjajahan British di Tanah Melayu meninggalkan kesan yang sangat mendalam terutamanya dari aspek politik, ekonomi, perlembagaan, pendidikan, agama, hubungan antara etnik dan sosial.Kesemua aspek tersebut merupakan titik tolak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara.Masalah 13 Mei 1969 jika dilihat dari satu aspek sememangnya banyak memberikan kesan negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain ia sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia.

    Melalui peristiwa berdarah itulah kita kini dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai, harmoni hinggakan menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dapat hidup bersama dalam keadaan dan suasana yang aman damai.  Jika dilihat faktor berlakunya peristiwa 13 Mei 1969  kebanyakan disebabkan oleh peranan penjajah yang telah membentuk satu masyarakat yang mempunyai kelas dan tahap tertentu demi untuk memelihara kepentingan mereka di Tanah Melayu. Justeru setelah berlaku peristiwa 13 Mei kerajaan telah mengambil langkah untuk membentuk semula masyarakat Malaysia menerusi dasar-dasar dan tindakan segera yang telah diambil untuk memastikan bahawa kemakmuran negara akan terus terpelihara dan terjamin.

    Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini. Apa yang perlu dilakukan kini oleh rakyat Malaysia ialah terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik  dan saling membantu antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil. Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula haruslah didokong dan diberi sokongan yang sewajarnya agar ia berjaya mencapai matlamatnya.  Selepas 13 Mei 1969 juga jelas menampakkan satu peningkatan yang amat membanggakan bagi negara kita dari segi pemupukan perpaduan kaum dan ia adalah hasl daripada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan melalui dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional serta Wawasan 2020.


Rujukan

Ahmad Ali Seman dan Warti Bt Kimi. 2014. Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Chamhuri Siwar dan Surtahaman Kastin Hasan.1985.Ekonomi Malaysia Edisi Kedua. Selangor: Longman.

Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme Di Malaysia dan Negara- negara Lain. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohamad Idris Saleh, Che Su Mustaffa dan Fuziah Shaffie. 1995. Sejarah Pembangunan  Bangsa dan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010.Cabaran Integrasi Antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan. Jurnal Hadhari Bil. 3 (2010) 61-84.

Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin. 2004. Dasar Ekonomi Baru Intipati. Kuala Lumpur:  Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Shamsul Amri Baharuddin. 2007. Modul Hubungan Etnik. Kementerian Pengajian Tinggi  Malaysia: MASKHA Sdn. Bhd.

Zaid Ahmad (Editor), Ruslan Zainuddin, Ho Hui Ling, Ku Halim Ku Arifin, Lee Yok Fee,  Najeemah Mohd Yusof, Sarjit Singh Gill, Admad Tarmizi Talib dan Nazri Muslim. 2010. Buku Teks : Hubungan Etnik di Malaysia Edisi Kedua. Selangor : Oxford Fajar.

6 ulasan:

  1. Walaupun kawasan geografi di Sabah dan Sarawak belum dapat menandingi kawasan geografi di semenanjung, tetapi perkauman di Sabah dan Sarawak tidak akan terjejas dan sentiasa bersatu, walaupun ekonomi di negeri-negeri ini akan membangun. Persefahaman antara kaum di Sabah dan Sarawak jauh lebih bagus.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
  2. YAAAAAAAAAAAAAAAAAA bEENAR

    BalasPadam
  3. bagaimankah cara untuk saya dapat cite artikel ini?

    BalasPadam
  4. how can I know which one is the reference for each topic?

    BalasPadam