Dasar Pecah dan Perintah British: Kesinambungan Hubungan
Etnik di Malaysia
Mohamad Rashid Abu Bakar
mohamad_rashid@ipsah.edu.my
Abstrak
Dalam konteks pemerintahan British, imigrasi penduduk telah mewujudkan pluralisme ekonomi dan masyarakat di Tanah Melayu. Pluralisme Ekonomi bermaksud pembahagian dan identifikasi pekerjaan mengikut kaum yang berasaskan tanggapan bercorak perkauman. Dasar perkauman merupakan asas dalam pelaksanaan dasar pemerintahan British di Tanah Melayu. Dasar pecah dan perintah yang diamalkan telah mewujudkan pandangan stereotaip bersama dengan garisan etnik, fungsi ekonomi dalam orde ekonomi baharu yang mendasari kepentingan politik dan ekonomi British. Sehubungan itu, artikel ini akan membincangkan perkaitan antara dasar pecah dan perintah dengan kesinambungan hubungan antara etnik di Malaysia.
kata kunci: pluralisme, stereotaip, orde, imigrasi
1.0 Pendahuluan
Secara rasminya kedatangan British
di Tanah Melayu bermula pada tahun 1786 setelah Francis Light menduduki Pulau
Pinang dan perluasan wilayah sehingga ke Seberang Perai berlaku dengan
termeterainya perjanjian pada tahun 1800. Kedatangan kuasa Eropah ke Alam
Melayu dengan misi serampang tiga mata iaitu untuk mengembangkan agama Kristian
(gospel), mencari kekayaan (gold) dan mencapai kemegahan (glory). Bagi memastikan
kelangsungan penguasaan politik dan
ekonomi, pihak British telah melaksanakan
dasar “pecah dan perintah” dalam pentadbiran. Peranan pentadbiran British dalam mewujudkan
masyarakat berbilang kaum dan dasar diskriminasi juga telah menyumbang kepada
berlakunya kepincangan perpaduan antara kaum terbesar di Tanah Melayu iaitu
kaum Melayu, Cina dan India.Selain itu, kedatangan British turut menyebabkan
masalah ekonomi dalam masyarakat pluralisme yang berlaku dengan jelas melalui
pentadbiran pecah dan perintah yang dilaksanakan dalam pekerjaan penduduk
pelbagai kaum di alam Melayu. Akibatnya, kedatangan pihak Inggeris sesungguhnya
hanya sekadar mengaut keuntungan di
Tanah Melayu dan manfaat yang seharusnya diperolehi kaum pribumi dinafikan
misalnya keuntungan pertanian, penguasaan tanah, hasil perlombongan, kemudahan
pendidikan dan infrastruktur perbandaran. Inilah manfaat yang sepatutnya
dinikmati penduduk pribumi tetapi dinafikan oleh pihak pentabir
kolonial.Kesimpulannya, kedatangan British telah menyebabkan pelbagai impak
yang menjadi titik tolak berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
2.0 Dasar Pecah
dan Perintah
Sewaktu tempoh penjajahan, British telah
membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang meliputi aspek sosial, ekonomi,
dan politik.Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung ataupun
tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru itu, pada
bahagian ini saya akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British
sehingga mengubah sistem kehidupan masyarakat Melayu yang sedia ada.
Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British adalah berasaskan dasar
‘pecah dan perintah’.Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara lain,
dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu bukan
melalui paksaan.Ia dilakukan secara berhati-hati dan perlahan-lahan seolah-olah
ianya berlaku secara semula jadi.
Sehubungan ini, dasar pecah dan perintah (Divide and Rule) yang digagaskan oleh
kerajaan British di Tanah Melayu telah menyebabkan masyarakat yang terdiri
daripada pelbagai ras dan kaum berpecah dan dimanipulasikan mengikut
kepentingan British.Kaum-kaum utama yang wujud pada masa itu yang terdiri
daripada tiga teks kod rumpun utama iaitu Melayu, Cina dan India dikelaskan
mengikut jenis pekerjaan dan sistem pendidikan yang berbeza-beza.Melalui dasar
ini, orang melayu ditempatkan di kawan luar bandar yang kebanyakan mencari
rezeki dengan menjadi nelayan dan petani.Manakala kaum Cina pula menetap di
kawasan bandar dan menguasai segala aktiviti ekonomi serta melibatkan diri
dalam bidang perlombongan yang begitu mnguntungkan.Masyarakat India pula
tinggal dan bekerja di pinggir bandar yakni di ladang-ladang sebagai penggerak
utama industri perladangan pada waktu itu. Masyarakat petani berbangsa Melayu,
peniaga Cina dan juga buruh ladang berketurunan India pada ketika itu merasa
curiga antara satu sama lain serta tidak berkomunikasi secara langsung
disebabkan oleh taktik kotor yang diterapkan oleh British.
Natijahnya, dasar ini telah
menyebabkan perpaduan dan perasaan saling ingin hidup bersama tidak berlaku di
Tanah Melayu. Secara keseluruhannya, pelaksanaan dasar pecah dan perintah telah
menjadi strategi yang paling berkesan dan efektif untuk menghalang kumpulan
kecil di Tanah Melayu untuk berinteraksi secara natural sesama kaum pada ketika
pemerintahan British yang menjadi tonggak utama goyahnya perpaduan antara kaum.
3.0 Implikasi Dasar Pecah Perintah dan Hubungan
Etnik di Malaysia
Jurang perbezaan ekonomi dan sosial
kalangan kaum di Malaysia sering dikatakan akibat dasar pecah dan perintah oleh
penjajah Inggeris.Terdapat dua keadaan yang memungkinkan keadaan ini iaitu
Inggeris sengaja memisahkan kaum-kaum bagi mengelakkan dan menyekat sebarang
usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan terhadap penjajahan dan
Inggeris perlu mengekalkan penduduk peribumi di kampung-kampung serta
mengekalkan aktiviti pertanian orang Melayu bagi memastikan bekalan makanan
penduduk Tanah Melayu tidak terjejas.Tindakan membawa masuk pekerja asing
adalah bagi mengelakkan penduduk pribumi meninggalkan aktiviti pertanian.Akibat
daripada dasar pecah dan perintah mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi
antara kaum, interaksi sosial yang terpisah-pisah dan kemuncaknya telah berlaku
rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
3.1 Pemisahan
Tempat Tinggal dan Petempatan
Masyarakat tidak akan wujud tanpa kehidupan
secara berkelompok. Adalah mustahil seseorang individu mampu menyediakan
keperluan hidupnya tanpa bergantung pada individu lain. Oleh itu kehidupan
berkelompok membolehkan satu anggota masyarakat berinteraksi dengan anggota
yang lain dan bergantung hidup dengan anggota masyarakat yang lain.
Kesan daripada dasar penjajahan British yang
pertamaiaitu pemisahantempat tinggal dan
penempatan. Pemisahan ini wujud akibat daripada dasar ‘pecah dan perintah' yang
diamalkan oleh penjajah British pada masa tersebut.Pemisahan ini juga menyebabkan
sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang untuk berinteraksi
dengan lebih kerap kerana tinggal di wilayah yang berbeza.
Pada era ini pengenalan kaum
diidentifikasikan mengikut tempat tinggal dan kegiatan ekonominya iaitu
kebanyakan kaum Melayu tinggal di kawasan luar bandar dan bergiat dalam sektor
pertanian.Sepanjang tempoh penjajahan British di Tanah Melayu, pihak British
selalu menegaskan supaya kependudukan dan budaya hidup orang Melayu tidak di
ganggu. Inggeris berpendapat supaya orang Melayu di kekalkan di kampung-kampung
dan mengamalkan cara hidup bertani,bertukang atau nelayan. Oleh itu, orang
Melayu tidak di galakkan berhijrah ke kawasan-kawasan perlombongan, ladang atau
ke bandar untuk bekerja dengan Inggeris.Lokasi kaum Melayu pada zaman
pemerintahan ini tertupuh di negeri Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan
Pahang. Manakala, kaum Cina pula bergiat dalam ekonomi moden iaitu berpusat di
bandar dan kawasan yg pesat membangun terutamanya di negeri Pulau Pinang,
Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Kaum India pula
kebanyakannya tertumpu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau
Pinang.Pola kependudukan ini secara tidak langsung telah memisahkan
kelompok-kelompok etnik ini dan menunjukkan ketidakseimbangan taburan antara
etnik.
Kesimpulannya,
hal ini telah merenggangkan perhubungan dan interaksi serta memperkuatkan lagi
perasaan kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota setiap etnik di
Tanah Melayu. Keadaan ini seterusnya telah menimbulkan prasangka, stereotaip
dan mengekalkan kejahilan dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap
golongan etnik yang lain.
3.2 Perbezaan
Tumpuan Sektor Ekonomi
Kesan penjajahan
British dari aspek ekonomi, dapat dilihat melalui kewujudan sistem ekonomi
dualisme. Sistem ekonomi dualisme merujuk kepada dua tumpuan ekonomi yang
berbeza namun ianya bergerak seiringan dengan garis etnik (Dipetik daripada Ekonomi Malaysia edisi kedua : Chamhuri Siwar dan
Surtahman Kastin Hasan, 1985).Dua bentuk eksploitasi ekonomi utama yang
dilakukan oleh penjajah ialah perlombongan dan perladangan getah.Kajian yang di
buat memperlihatkan Melayu ketika awal kemerdekaan agak mundur berbanding etnik
Cina. Malah etnik India dilihat agak mundur akibat Dasar Pecah Perintah yang
diamalkan oleh British pada ketika itu(Dipetik
daripada Ekonomi Malaysia edisi kedua : Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin
Hasan, 1985). British juga telah menyusun kawasan-kawasan yang tertentu
untuk diusahakan oleh etnik-etnik tertentu di Tanah Melayu. Sebagai contoh,
etnik melayu di berikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja mereka mahu dan
mereka hanya meneruskan ekonomi sara diri seperti bercucuk tanam, bersawah, ke
hutan, ke laut manakala golongan Melayu elite
diberi peluang membantu pentadbiran British.
Impak dari
pemerintahan British kita tidak dapat menafikan bahawa British mengambil
langkah yang sangat berhati-hati dengan memisahkan etnik ini dari bergaul
antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah sehingga hari ini sentimen
perkauman masih kuat dan jurang ekonomi juga ketara antara tiga etnik utama
ini.Tambahan pula, etnik di Sabah dan Sarawak mengalami situasi yang hampir
sama seperti mana etnik Melayu di Semenanjung cuma perkembangan ekonomi di
Sabah dan Sarawak masih tidak meluas kerana faktor geografi yang berbukit –bukau
menyukarkan pembangunan dilaksanakan.
Dalam hal ini, masalah
ekonomi kadar kemiskinan juga turut bertambah disebabkan sistem etnik
ini.Sistem ekonomi penjajah tertumpu kepada perdagangan moden yang berasaskan
perusahaan getah dan perlombongan bijih timah. Sistem ekonomi ini berasaskan
pasaran bandar dan diletakkan di bawah kawalan British.Sistem ini banyak
melibatkan kumpulan etnik Cina dan India.Manakala sistem ekonomi tradisional
ialah sektor pertanian di mana komoditi utamanya ialah penanaman padi dan
perikanan.Teknik pengeluaran, pemasaran, dan tenaga kerja didominasi oleh etnik
melayu dengan berteraskan budaya Melayu luar bandar atau budaya Melayu
tradisional.Secara tidak langsung, ekonomi dualisme ini telah melambangkan
agihan tenaga kerja mengikut tiga etnik utama di Malaysia.
Tuntasnya, kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan
jurang pendapatan yang berbeza anatara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini
telah menimbulkan rasa tidak puas hati
dan persaingan ekonimi secara tidak sihat dan pada kemuncaknya
berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.
3.3 Pengasingan
Sistem Pendidikan
Hala tuju pendidikan
semasa zaman penjajahan British bertujuan untuk menyekat peluang orang Melayu
daripada mengembangkan bakat mereka dan untuk memisahkan mereka daripada
perkembangan sosio-ekonomi negara.Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman
penjajahan British ialah bersifat bebas atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah
diwujudkan dan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil
dan agama Islam.
Sehubungan itu,
terdapat tiga peringkat pendidikan iaitu pendidikan British rendah dan menengah
dihadiri oleh kanak-kanak bangsawan Melayu dan hartawan Cina dan
India.Seterusnya, terdapat sekolah Melayu peringkat rendah dibantu oleh British
dengan matlamat menjadikan mereka sebagai petani yang lebih baik daripada ibu
bapa mereka.Peringkat yang ketiga ialah wujudnya sekolah vernakular Cina dan
India yang berdasarkan negara asal masing-masing.Setiap jenis sekolah tersebut
mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza.
Selain perbezaan dalam
aliran pendidikan, kerencaman sistem pendidikan juga dapat dilihat daripada
sudut kurikulum, sukatan mata pelajaran serta orientasi matlamatnya.Sehubungan
itu, aliran pendidikan Cina dan India, kurikulum, sukatan mata pelajaran dan
orientasinya berkiblatkan negara asal mereka.Keadaan ini menyebabkan interaksi
sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama.
Ini telah menyebabkan tiada keseragaman
dari segi identiti dan fahaman kerana negara China contohnya mengamalkan
fahaman komunisme dan silibus yang diambil dari Negara China mempunyai
unsur-unsur komunisme tetapi lain pula dengan kaum lain yang berteraskan
fahaman yang lain. Selain itu tidak
terdapat satu bahasa pengantar yang seragam telah menyebabkan setiap kaum hanya
tahu bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja.Ini telah menyebabkan
timbulnya pelbagai masalah yang telah menggugat perpaduan kaum.Ini telah
memberikan satu impak buruk dalam pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.
Kesimpulannya,
kewujudan sistem pendidikan dalam zaman Inggeris ini telah mewujudkan
polarisasi di Tanah Melayu.Penubuhan sekolah-sekolah vernakular yang berasaskan
kepentingan kaum masing-masing ini telah membawa pemisahan yang sangat ketara
antara penduduk di Tanah Melayu.Sistem pendidikan yang bersifat perkauman yang
kuat ini menyebabkan polarisasi di Tanah Melayu begitu ketara sekali.
3.4 Fahaman
Politik Berbeza
Di negara ini terdapat
pelbagai parti politik yang berasaskan kumpulan etnik dan setiap parti politik
akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik yang diwakilinya. Politik
perkauman ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan mengukuhkan
semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa
mengambil kira kepentingan semua pihak. Jika isu perkauman seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi dibangkitkan, maka
tindakan ini tidak akan menyumbang kearah masyarakat yang bersatu padu.
Sehubungan itu, struktur
masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbagai-bagai kaum telah melahirkan banyak persatuan-persatuan politik sosial dan
ekonomi yang berasakan kaum masing-masing. Perkara ini telah memeperkuatkan
lagi rasa syak wasangka di antara satu sama lain kerana persatuan-persatuan ini
hanya memperjuangkan kepentingan kumpulan kaum yang diwakilinya sahaja tanpa
menghiraukan kaum-kaum yang lain. Parti-parti politik yang berbentuk perkauman
seringkali mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan kaum
hingga menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara antara satu kaum dengan
kaum yang lain.
3.5 Perbezaan
Kepercayaan dan Nilai
Sejak
zaman pemerintahan Britishsehingga tahun 1969 terdapat pelbagai perbezaan dari
segi agama, bahasa dan kebudayaan dalam masyarakat di Tanah melayu.Setiap
kumpulan etnik mempertahankan kebudayaan dan adat resam mereka, mengutamakan
etnik mereka dan mungkin juga menganggap kebudayaan mereka sahaja yang terbaik.
Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik
yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan natijah akhirnya
akan mewujudkan polarisasi antara etnik. Selain daripada itu kewujudan akhbar
yang pelbagai bahasa dengan mengutamakan kelompok etnik mereka akan
memperkukuhkan lagi perasaan kumpulan etnik masing-masing. Cabaran dari segi
kepentingan nilai ini akan mewujudkan masalah yang lebih besar jika fahaman
etnosentrisme itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.
Sehubungan
itu, perbezaan budaya dan agama merupakan salah satu lagi punca berlakunya masalah perpaduan kaum di Malaysia. Kaum
Melayu sebahagan besarnya beragama Islam, kaum Cina beragama sama ada Buddha,
Lao-Tze, Taoisme, Confucius manakala kaum India beragama Hindu. Disamping itu
terdapat ramai juga yang beragama Kristian.Setiap kaum pula mempunyai
kebudayaan yang berlainan dan ini menambahparahkan lagi masalah perpaduan kaum
di Malaysia.
Masalah perpaduan ini bukannya bermula
disebabkan agama yang dianuti oleh kaum-kaum yang terdapat di Malaysia
menggalakkan penganutnya memusuhi agama lain tetapi ia berpunca dari sikap
jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara
tidak sengaja telah menyinggung emosi
penganut agama lain. Kesimpulannya, inilah punca yang telah mengakibatkan
peristiwa 13 Mei 1969 berlaku
4-0 Rumusan
Penjajahan British di Tanah Melayu meninggalkan kesan yang sangat
mendalam terutamanya dari aspek politik, ekonomi, perlembagaan, pendidikan,
agama, hubungan antara etnik dan sosial.Kesemua aspek tersebut merupakan titik
tolak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan satu detik hitam dalam
lipatan sejarah negara.Masalah
13 Mei 1969 jika dilihat dari satu aspek sememangnya banyak memberikan kesan
negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain
ia sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia.
Melalui peristiwa berdarah itulah kita kini
dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai, harmoni hinggakan
menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dapat
hidup bersama dalam keadaan dan suasana yang aman damai. Jika dilihat faktor berlakunya peristiwa 13
Mei 1969 kebanyakan disebabkan oleh
peranan penjajah yang telah membentuk satu masyarakat yang mempunyai kelas dan
tahap tertentu demi untuk memelihara kepentingan mereka di Tanah Melayu.
Justeru setelah berlaku peristiwa 13 Mei kerajaan telah mengambil langkah untuk
membentuk semula masyarakat Malaysia menerusi dasar-dasar dan tindakan segera
yang telah diambil untuk memastikan bahawa kemakmuran negara akan terus
terpelihara dan terjamin.
Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak
ke arah kebaikan kepada negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut
berlaku semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang
lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini. Apa yang perlu dilakukan kini
oleh rakyat Malaysia ialah terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa
pun fahaman politik dan saling membantu
antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil. Dasar-dasar yang
dirangka oleh kerajaan pula haruslah didokong dan diberi sokongan yang
sewajarnya agar ia berjaya mencapai matlamatnya. Selepas 13 Mei 1969 juga jelas menampakkan satu
peningkatan yang amat membanggakan bagi negara kita dari segi pemupukan
perpaduan kaum dan ia adalah hasl daripada usaha-usaha yang telah dijalankan
oleh kerajaan melalui dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar
Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan
Nasional serta Wawasan 2020.
Rujukan
Ahmad Ali Seman dan Warti Bt Kimi. 2014. Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn.
Bhd.
Chamhuri Siwar dan Surtahaman Kastin Hasan.1985.Ekonomi Malaysia Edisi Kedua. Selangor:
Longman.
Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme Di Malaysia dan Negara- negara Lain. Selangor: Fajar
Bakti Sdn. Bhd.
Mohamad Idris Saleh, Che Su Mustaffa dan Fuziah Shaffie. 1995. Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010.Cabaran Integrasi Antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga
dan Pendidikan. Jurnal Hadhari Bil. 3 (2010) 61-84.
Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin. 2004. Dasar Ekonomi Baru Intipati. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn.
Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin. 2007. Modul
Hubungan Etnik. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia: MASKHA Sdn. Bhd.
Zaid Ahmad (Editor), Ruslan Zainuddin, Ho Hui Ling, Ku Halim Ku
Arifin, Lee Yok Fee, Najeemah Mohd
Yusof, Sarjit Singh Gill, Admad Tarmizi Talib dan Nazri Muslim. 2010. Buku Teks : Hubungan Etnik di Malaysia
Edisi Kedua. Selangor : Oxford Fajar.
Walaupun kawasan geografi di Sabah dan Sarawak belum dapat menandingi kawasan geografi di semenanjung, tetapi perkauman di Sabah dan Sarawak tidak akan terjejas dan sentiasa bersatu, walaupun ekonomi di negeri-negeri ini akan membangun. Persefahaman antara kaum di Sabah dan Sarawak jauh lebih bagus.
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
PadamYAAAAAAAAAAAAAAAAAA bEENAR
BalasPadambagaimankah cara untuk saya dapat cite artikel ini?
BalasPadamBagus
BalasPadamhow can I know which one is the reference for each topic?
BalasPadam