KEPENTINGAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH
MOHAMAD RASHID BIN ABU BAKAR
PENDAHULUAN
Dalam
merancang pengajaran dan pembelajaran, tidak lengkap sekiranya seseorang guru hanya menggunakan kaedah “chalk and talk”
sahaja. Kaedah tersebut dikatakan banyak mendatangkan impak negatif sehingga
murid-murid semakin tidak meminati subjek sejarah yang selalunya dianggap
membosankan. Oleh itu, penulisan ini akan cuba melihat signifikan penggunaan sumber pengajaran
dan pembelajaran mata pelajaran sejarah khususnya bahan bercetak, bahan elektronik
dan bahainternet dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara kepentingan
penggunaan sumber dalam pengajaran dan
pembelajaran sejarah adalah adalah seperti berikut:
MERANGSANG PEMIKIRAN MURID
Penggunaan
sumber bahan pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Sejarah akan
merangsang pemikiran murid dengan lebih berkesan. Menurut Sufean Hussin (2005) penggunaan sumber
pengajaran dan pembelajaran amat perlu
kerana melalui bahan tersebut, pembelajaran murid akan jauh lebih bermakna
berbanding proses pembelajaran yang berlangsung tanpa penggunaan sumber. Hal
ini kerana penggunaan bahan sumber yang baik akan merangsang setiap aspek perkembangan murid
yang bukan sahaja merangkumi kognitif malah bahasa, komunikasi dan fizikal
murid.
Guru Sejarah boleh mengajar tajuk berkaitan Zaman Air Batu dengan
membuat diorama orang zaman batu. Penggunaan
sumber bahan maujud sebagai bahan. bantu mengajar (BBM) akan
membantu murid membuat pelbagai tanggapan berdasarkan apa yang telah
dilihat secara realiti dan bukan satu persepsi atas dasar andaian sahaja.
Bahkan murid akan lebih tertarik untuk mempelajari tajuk tersebut sekiranya dia
dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang dipelajari tadi.
Jelaslah bahawa penggunaan sumber maujud
seperti diorama akan membuat
murid memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Murid dapat
mengaplikasi kemahiran pembelajaran sejarah dan menjana kemahiran kreatif dan
inovatif tentang segala aspek kehidupan manusia zaman silam dan kini
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013). Hasilnya murid dapat mengeluarkan
idea yang lebih bernas dan bermakna.
MENGINTERPRETASI MAKLUMAT DARIPADA PERISTIWA SEJARAH
Signifikan
penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah murid dapat
menginterpretasi maklumat daripada peristiwa sejarah. Menurut Noresah (2005) interpretasi merujuk
kepada tafsiran. Jadi interpretasi di sini
adalah mentafsir atau menganalisis maklumat daripada pelbagai sumber sejarah.
Proses pentafsiran maklumat akan
membantu murid dalam meneroka bukti dan membentuk perasaan empati mereka
terhadap sesuatu peristiwa bersejarah.
Guru
Sejarah boleh menggunakan sumber bahan elektronik seperti tayangan video,
animasi atau filem untuk mengajar sesuatu
tema. Tayangan video berkaitan peristiwa dan pemandangan sebenar sesuatu
peristiwa akan membolehkan murid tahu dengan lebih jelas tentang sesuatu
peristiwa bersejarah. Kemahiran kreatif dan inovatif turut dapat dicapai
apabila murid berfikir di luar konteks buku teks. Ini kerana mereka
akan mendapat maklumat yang lebih tepat dan lengkap melalui tayangan video dan bahan elektronik berbanding penggunaan bahan bercetak.
Kemahiran
Pemikiran Sejarah (KPS) murid mengenai elemen asas sejarah seperti tokoh,
tempat, peristiwa, tarikh dan masa juga
akan tercapai apabila murid membuat interpretasi melalui ketokohan sesuatu
watak. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), murid bukan sekadar boleh membuat
analisis terhadap fakta-fakta yang diperolehi malah membuka ruang yang lebih
luas untuk membuat tafsiran baru terhadap permasalahan sejarah. Dapatlah
disimpulkan bahawa penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata
pelajaran sejarah seperti bahan bercetak, bahan elektronik, internet dan bahan maujud akan
membuka ruang yang lebih baik kepada murid untuk menginterpretasi pelbagai
peristiwa sejarah.
MENARIK MINAT MURID TERHADAP MATAPELAJARAN SEJARAH
Menurut
Abdul Razaq dan Isjoni (2009), seorang guru akan dianggap berjaya sekiranya
mampu menarik perhatian murid terhadap pelajaran yang diajar. Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran
akan memainkan peranan yang sangat bermakna dalam usaha untuk menarik minat
murid terhadap mata pelajaran sejarah. Sejauh mana tahap keberkesanan PdP
bergantung kepada keupayaan dan kreativiti guru memilih bahan sumber yang
sesuai dan menarik untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas atau di luar kelas.
Guru sejarah haruslah sentiasa kreatif dan
inovatif dalam mengolah sumber PdP yang akan digunakan agar sentiasa memikat
hati murid-muridnya. Sebagai contoh, guru dapat membawa bahan maujud seperti
baju Melayu, tengkolok dan pakaian tradisional semasa mengajar tajuk berkaitan
Kesultanan Melayu Melaka ataupun budaya masyarakat di Malaysia. Persembahan tersebut pasti akan
membuat murid berasa kagum dan sedikit sebanyak menarik minat mereka terhadap
mata pelajaran sejarah sejak dari sekolah rendah lagi.
Guru boleh memulakan pengajaran dengan
menyediakan set induksi yang dapat menarik perhatian murid kepada guru dan
pengajarannya. Jadi, guru boleh membawa
sumber bahan bercetak seperti gambar-gambar bangunan lama bagi set induksi
tersebut. Semasa fasa perkembangan pula, guru boleh menggunakan slaid powerpoint
agar maklumat yang lebih teratur dapat dipersembahkan dan akan memudahkan
murid mengikuti pengajaran dengan lebih berkesan (Aszoura Muhamed Salleh, 2007). Tuntasnya, seorang guru sejarah perlu peka
terhadap Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP) yang terdapat pada diri setiap murid
agar memudahkan beliau mengenalpasti
tahap kebolehan murid dan digunakan sepenuhnya asas untuk menentukan kesesuaian
bahan sumber yang akan digunakan. Pada hakikatnya terdapat 8 elemen TKP murid iaitu verbal-linguistik, logik-matematik,
visual-ruang, naturalis, kinestetik, muzik, interpersonal dan intrapersonal
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001). Setelah mengetahui kecerdasan mereka,
guru boleh mempelbagaikan sumber pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat
murid tehadap subjek sejarah.
MENINGKATKAN DAYA INGATAN TERHADAP FAKTA SEJARAH
Mata
pelajaran Sejarah seringkali dikaitkan dengan proses menghafal fakta dan
maklumat yang terdapat di dalam sesebuah buku. Sehubungan itu, jenis sumber
pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru akan menentukan tahap keupayaan
murid meningkatkan daya ingatan terhadap
fakta sejarah yang dipelajari pada hari tersebut, seterusnya membolehkan murid
menghuraikan semula fakta sejarah yang telah dipelajari.
Memandangkan mata pelajaran Sejarah sering dianggap susah, guru perlu
menggunakan sumber PdP seperti radio dan kaset ataupun CD semasa mengajar murid.
Sebagai contoh untuk mengajar tajuk
Identiti Negara , guru boleh membawa murid menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan
secara tidak langsung murid mampu mencapai
standard pembelajaran 9.2.3, Sejarah Tahun 5 iaitu menyatakan warna dan lambang pada bendera kebangsaan (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2014). Lirik yang terdapat pada lagu tersebut mudah diikuti dan
sentiasa berligat di minda murid apabila dinyanyikan. Selain itu, guru juga
dapat mengedarkan bahan bercetak seperti risalah yang “diboldkan” atau
diwarnakan untuk memudahkan murid mengingati fakta-fakta sejarah yang penting.
Cara tersebut kebanyakannya akan membantu murid meningkatkan lagi ingatan
mereka terhadap isi mata pelajaran Sejarah yang dipelajari. Nota rujukan juga
boleh digunakan oleh guru untuk tujuan rujukan pada masa akan datang. Jelaslah
bahawa cara guru dalam mengaplikasikan sumber pengajaran dan pembelajaran mampu
membantu murid meningkatkan ingatan dan kefahaman mereka terhadap fakta sejarah
yang telah dipelajarinya. Penggunaan pelbagai jenis sumber pengajaran dan
pembelajaran dalam PdP akan memberi kelebihan kepada murid meningkatkan ingatan
terhadap fakta sejarah berbanding PdP yang tidak menggunakan bahan sumber.
MENINGKATKAN MOTIVASI DALAMAN MURID
Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran sejarah boleh menimbulkan rangsangan dan keinginan pelajar untuk mengetahui lebih mendalam akan sesuatu aspek pengajaran di samping menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan (Mat Nor Russin dan Abd Rahman Abd. Rashid, 1988). Menurut Ee Ah Meng (1990) komponen utama untuk menarik perhatian awal murid ialah dengan mewujudkan motivasi. Guru perlu tahu bahawa dirinya sendiri merupakan sumber rangsangan yang kompleks yang mempunyai berbagai-bagai sifat dan tingkah laku. Cara guru bercakap, tersenyum, dan memberikan tindak balas yang berlainan terhadap tingkah laku murid sebenarnya juga merupakan suatu rangsangan untuk belajar. Untuk memberi motivasi yang lebih baik kepada murid, guru perlu mewujudkan unsur-unsur ketegangan dan akan membangkitkan perasaan murid. Guru juga boleh menunjukkan sesuatu aktiviti yang berguna ataupun menggunakan soalan yang mencabar. Motivasi boleh membangkitkan tingkahlaku positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Motivasi boleh diwujudkan dengan memberikan pujian yang baik, kata-kata perangsang
dan sebagainya ketika murid berjaya memberi respon yang tepat terhadap isi
pelajaran.
Motivasi
juga boleh dipertingkatkan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang
menyeronokkan melalui penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang
menarik dan melampaui kebiasaan kebanyakkan guru. Penggunaan kaedah serta sumber pengajaran dan pembelajaran yang
pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu lebih menarik dan akan memberi
ruang kepada murid untuk terlibat secara
aktif dalam proses pembelajaran tanpa merasa jemu dan bosan. Suasana
pembelajaran seumpama ini secara tidak langsung memberi motivasi dalaman kepada
murid.
Dalam
konteks ini, guru boleh merancang aktiviti yang sesuai dengan tahap kebolehan
murid dan melibatkan mereka secara langsung dalam penyediaan bahan sumber
pengajaran dan pembelajaran yang akan digunakan semasa PdP. Penggunaan sumber
pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan sendiri oleh murid merupakan suatu
pengiktirafan terhadap kebolehan kognitif dan psikomotor mereka, malahan akan
meningkatkan motivasi dalaman murid. Pengiktirafan guru terhadap hasil kerja
murid bukan sahaja akan meningkatkan motivasi dalaman, seterusnya menjana
kemahiran kepimpinan, kreativiti dan inovasi. Guru boleh melaksanakan pembelajaran koperatif melalui perbincangan
dan kerja kumpulan bagi menyediakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai dengan tahap perkembangan kognitif mereka.
Menurut Steven pembelajaran koperatif melalui
perbincangan dalam kumpulan dapat meningkatkan motivasi pelajar. Hasil dari
peningkatan motivasi tersebut yang ditunjukkan ia akan menyebabkan pelajar
lebih berminat kepada isi pembelajaran yang sedang dipelajari. Melalui
pendekatan koperatif juga pelajar dari pelbagai kebolehan dapat bekerjasama
dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat.
MEMBANTU PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah adalah satu proses untuk memastikan pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
Ramai yang mengatakan bahawa pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang
paling sukar untuk dilaksanakan. Menurut kajian 36% guru di Amerika menyatakan
bahawa mereka tidak akan menjadi guru sekiranya mereka tahu akan menghadapi
masalah. dalam pengurusan bilik darjah (Laporan Pertubuhan Pendidikan
Kebangsaan Amerika Syarikat, 1981).
Menurut Maskowitz dan Hayman
(1976) jika sekali guru kehilangan
kawalan bilik darjah pada kali pertama maka akan menjadi lebih sukar untuk
dikawal semula. Namun begitu menurut
pandangan Anderson (1989) tingkah laku yang melibatkan penglibatan murid secara
maksimum dalam aktiviti pembelajaran akan meminimumkan tingkah laku murid yang
mengganggu tugas guru dan pelajar lain semasa proses PdP.
Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran adalah
merupakan suatu cara yang berkesan untuk meningkatkan proses pembelajaran murid
(Reinich, Molenda, Russell & Smaldino, 1996). Penggunaan bahan pengajaran
dan pembelajaran dapat melibatkan pelbagai deria murid dan menjadikan
pengajaran ini benar-benar berkesan (Nairn, 1991). Penggunaan media juga dapat
membantu pencapaian objektif pembelajaran (Jeyanti, 1996). Keadaan ini akan
membantu guru dalam pengurusan dan kawalan bilik darjah secara lebih berkesan.
RUMUSAN
Penggunaan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran
yang berkualiti tinggi di dalam bilik darjahdarjah akan menghasilkan (i) kandungan
topik boleh dipilih secara lebih terperinci dan diorganisasikan, (ii) penyampaian pengajaran yang boleh dipiawaikan (iii) pengajaran adalah lebih
menarik minat pelajar (iv) pembelajaran adalah lebih interaktif apabila
teori-teori pembelajaran diaplikasikan (v) masa pengajaran boleh disingkatkan
(vi) kualiti pembelajaran boleh diperbaiki (vii) arahan boleh diberikan bila
dan di mana perlu (viii) sikap positif individu terhadap apa yang
mereka pelajari dan juga terhadap proses pembelajaran itu sendiri boleh dikukuhkan dan (ix)
peranan guru juga boleh dikukuhkan (Kemp dan Smellie, 1989).
Secara keseluruhannya, dapatlah
disimpulkan bahawa kecekapan pembelajaran dan sikap positif murid terhadap pembelajaran dapat
diperkukuhkan melalui penggunaan bahan
sumber pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan berkualiti. Untuk mencapai
kebaikan-kebaikan di atas, bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan
mestilah bermutu tinggi dan dipilih atau direka, dihasilkan dan digunakan
sebagai satu bahagian yang diintegrasikan di dalam sistem pembelajaran dan
pengajaran.(Gagne, Briggs,dan Wager, 1992)