Ahad, 13 Ogos 2017

Penggunaan Internet dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

PENGGUNAAN INTERNET DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH
Mohamad Rashid bin Abu Bakar



PENGENALAN


Perkembangan teknologi maklumat khususnya evolusi internet telah membuka lembaran baru terhadap konsep dan teori pendidikan khasnya berkaitan konsep bilik darjah serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (Hunt, 2004; Resnick & Wirth, 1996). Menerusi internet setiap individu atau murid dapat meneroka pelbagai pengalaman pembelajaran. Ia boleh dilakukan dalam dua keadaan iaitu secara peribadi dan juga kolaboratif. Menurut Weiss (2001) penggunaan komputer dan internet mampu mengubah banyak aspek penting dalam  bidang pendidikan. Penggunaan sumber internet secara terancang akan menjadikan pengajaran lebih baik dan menarik kerana banyak maklumat boleh dicapai melalui enjin carian di internet. Kaedah pengajaran bersumberkan internet menjadikan pembelajaran lebih berpusat kepada murid, oleh itu peluang mewujudkan komunikasi dua hala antara guru dan murid adalah lebih tinggi. Murid akan merujuk kepada guru jika terdapat sebarang masalah berhubung pembelajaran. Terdapat pelbagai aplikasi bersumberkan internet yang boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah, antaranya ialah Web Based Geographic Information System (GIS), Google Maps, Google Earth, Laman Web, Portal pendidikan, Jurnal elektronik, Web 2.0, Pusat Sumber Elektronik dan  e-pembelajaran.

SUMBANGAN INTERNET DALAM PENGAJARAN SEJARAH

Antara matlamat transformasi pendidikan di Malaysia adalah untuk mengubah corak pendidikan tradisional kepada pengajaran dan pembelajaran berasaskan pertanyaan (inquiry-based). Dokumen Standard Kurikulum dan Penilaian (DSKP) dengan jelas menyebut bahawa pendekatan pengajaran dan pembelajaran sejarah perlu menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif melalui aktiviti inkuiri dan penerokaan. Aktiviti tersebut perlu mengutamakan aplikasi elemen didik hibur bagi menimbulkan minat murid terhadap mata pelajaran sejarah. Kemahiran inkuiri merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid dan melalui kaedah ini murid berkemampuan mencari dan mengumpul maklumat melalui pelbagai aktiviti untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang lebih bermakna dan berkesan. Sehubungan itu, penggunaan internet sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran menyediakan cara untuk murid mendapatkan pengetahuan dan mencari bahan rujukan sendiri (Jonassen & Duffy, 1991).

Kajian  oleh ISTE (2000) menunjukan bahawa internet berupaya menyediakan pelbagai nilai yang berharga dalam bidang pendidikan. Antaranya ialah  (1) internet menyediakan maklumat terkini dalam pelbagai bentuk rupa yang tidak boleh diperolehi dari sumber lain, (2) rangkaian komputer bertindak sebagai pembantu komunikasi yang boleh menyimpan dan mencapai kembali maklumat dengan begitu mudah. Hal ini membuktikan bahawa penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah wajar dan perlu diberi penekanan yang serius oleh para guru memandangkan begitu banyak manfaat yang disediakan. Melalui penggunaan internet pelbagai sumber maklumat dapat dicapai dengan mudah dan cepat.

RUMUSAN



RUJUKAN



   

Isnin, 7 Ogos 2017

Perisian Permainan Sejarah

Perisian Permainan Sejarah
Mohamad Rashid bin Abu Bakar



Pengenalan

Penggunaan teknologi berkomputer dalam pembelajaran sejarah telah berkembang selari dengan kemajuan teknologi. Sehubungan itu para penyelidik dalam bidang pendidikan mencadangkan perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sejarah dengan meenggunakan pelbagai sumber teknologi berasaskan multimedia. Penggunaan multimedia (sumber elektronik) melalui permainan interaktif akan menjadikan pengajaran lebih menarik dan melibatkan penyertaan murid yang menyeluruh. Perisian permainan sejarah menggunakan multimedia seperti audio, visual, animasi, filem dan video dapat meningkatkan pencapaian kognitif, psikomotor, minat dan perilaku murid (Mohamad Johdi & Ariegusrini, 2009). Kajian-kajian ilmiah sedia ada juga membuktikan bahawa penggunaan kaedah permainan dalam pembelajaran mampu meningkatkan kemahiran kognitif dan psaikomotor murid (Kloffer, 2005; Kozuki et al., 2002; Zavaleta et al., 2005; Baba & Kita, 1995). Teori pembelajaran moden menjelaskan bahawa kesan media yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengubah kefahaman murid daripada sukar kepada yang lebih mudah (Dale, 1946). Penggunaan teknologi multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejarah juga mampu memaksimakan penguasaan murid (Heinich, Molenda & Russel, 1989). Sehubungan itu, penggunaan kaedah permainan dalam pembelajaran sejarah memerlukan pendekatan yang terancang  dan berstruktur  bagi memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana bebas, selamat, menggembirakan dan lebih bermakna. 

Ciri-Ciri  Pembelajaran  dalam  Permainan Sejarah

Multimedia membawa pengertian pelbagai media yang merangkumi alatan audio, video, visual dan komunikasi. Penggunaan alat komunikasi yang mengandungi elemen-elemen audio, teks, grafik, video dan animasi sebagai alat untuk menyampaikan maklumat, ilmu, kemahiran, apresiasi dan komitmen amat membantu proses pengajaran guru di bilik darjah dan di luar bilik darjah. Sebenarnya terdapat pelbagai sumber elektronik yang boleh disepadukan penggunaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejarah. Permainan sejarah boleh direkabentuk menggunakan elemen-elemen multimedia tersebut dan semakin banyak pancaindera digunakan oleh murid akan menyebabkan pembelajaran itu semakin berkesan. Oleh itu permainan sejarah yang dibentuk dengan gabungan pelbagai elemen multimedia pasti akan memberi kesan yang lebih baik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran sejarah. Namun begitu terdapat beberapa ciri yang perlu dipatuhi antaranya (1) direka bentuk untuk memotivasikan murid bagi mempelajari sesuatu dengan meningkatkan kemahiran dan strategi, (2) mengambil kira kemahiran penyelesaian masalah, (3) permainan atas talian bagi menggalakkan kolaborasi dan komunikasi, (4) membangunkan ruang memori dan kemahiran merancang.

Kajian membuktikan bahawa terdapat beberapa ciri permainan berkomputer yang dapat membantu proses pembelajaran. Menurut Overmars (2005) permainan yang efektif dan berkesan adalah permainan yang mempunyai peraturan yang lengkap dan adil serta memerlukan pemikiran logik dan sedikit pengiraan. Ciri-ciri penting yang perlu diberi perhatian ialah mewujudkan suasana pembelajaran melalui permainan dengan menyediakan aktiviti yang melibatkan interaksi dan tindakbalas yang tinggi, mempunyai matlamat yang khusus dan prosedur yang lengkap, mempunyai motivasi, menyediakan alatan yang sesuai dan memastikan suasana pembelajaran yang tidak membosankan (Grice & Strianese, 2000).

Permainan adalah suatu sistem formal tertutup yang melibatkan pemain dalam suatu konflik yang berstruktur dan mempunyai cara penyelesaian yang berbeza-beza (Fullerton, 2008). Murid akan berhadapan dengan suatu kegiatan pemecahan masalah yang berlandaskan rasa senang (Schell, 2008). Dalam hal ini murid akan berhadapan dengan proses pemikiran yang santai dan berlaku secara alamiah. Ciri ini amat penting khususnya dalam menghadapi kebosanan terhadap matapelajaran sejarah yang sering dibincang dalam khalayak guru.

Peranan  Permainan  dalam Pembelajaran Sejarah

Permainan itu sendiri adalah aktiviti yang menyeronokkan dan mempunyai impak tinggi, malahan untuk mempelajari sesuatu perkara melalui permainan adalah lebih mudah dan menarik. Permainan berkomputer yang disimulasikan dalam realiti nyata adalah jauh lebih menarik berbanding permainan yang dibangunkan khusus untuk komputer. Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan perisian permainan sejarah dalam pengajaran dan pembelajaran terdapat pelbagai kaedah dan penyelidikan telah dilaksanakan.

Banyak kajian telah membincangkan kesan positif penggunaan perisian permainan digital dalam pembelajaran. antara kesan positif yang telah dikenalpasti ialah potensi permainan digital untuk memotivasikan pembelajaran (Han & Zhang, 2008; Merrill et al., 2006; Mohamed Masrop Noor Azli, 2014). Permainan Sejarah khususnya menggunakan komputer mampu meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah, membentuk motivasi dan sosialisasi dalam kalangan pemain (Gee, 2003). 

Smaldino et al., (2014) menyatakan bahawa pengaplikasian sistem pendidikan dengan menggunakan teknik permainan digital adalah sangat fleksibel dan sebenarnya mempunyai kelebihan untuk mengaplikasi prinsip-prinsip pembelajaran yang menjadi teras pendidikan seperti dicadangkan dalam teori tingkah laku, teori kognitif dan teori konstruktif. Pembelajaran yang berorientasikan permainan lebih mudah digunakan dan senang difahami (Freitas & Jarvis, 2009).

KESIMPULAN

Rujukan

Baba, N. & Kita, T. (1995). Application of neural networks to computer gaming. Prosiding IEEE International Conference on Neural Networks, 1, 550-554.


Dale. (1946). dalam http://www.geocities.com/ebelajar2002/bahan.htmi.

Freitas, S. de, & Jarvis, S. (2009). Towards a development Approach to Serious Learning Advancements for Multi-Sensory Human Computer Interfaces: Techniques and Effective Practices (p.p 215-231). New York: Information Science Reference.

Grise, R. & Strianese, L. (2000). Learning and building strategies with computer games. Proceeding of Joint IEEE International and 18th Annual Conference on Computer Documentation (IPCC/SIGDOC 2000). 535-540.

Kozuki, K., Imachi, M., Ueno, M., Tsubokura, A. & Tsushima, K. (2002). Computer game and educational system. Proceedings. International Conference.

Kloffer E., (2005). Playing to learn, state-of-the art computer games go to school. www.ciconline.org/accesslearning.

Gee, J. P. (2003). What Video Games Have To Teach Us About Learning and Literacy. New York: Palgrave/Macmillan.



Kepentingan Sumber Pengajaran Sejarah

KEPENTINGAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH
MOHAMAD RASHID BIN ABU BAKAR


    PENDAHULUAN

Dalam merancang pengajaran dan pembelajaran, tidak lengkap sekiranya seseorang guru hanya menggunakan kaedah “chalk and talk” sahaja. Kaedah tersebut dikatakan banyak mendatangkan impak negatif sehingga murid-murid semakin tidak meminati subjek sejarah yang selalunya dianggap membosankan. Oleh itu, penulisan ini akan cuba melihat signifikan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah khususnya bahan bercetak, bahan elektronik dan bahainternet dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara kepentingan penggunaan sumber dalam  pengajaran dan pembelajaran sejarah adalah adalah seperti berikut:

MERANGSANG PEMIKIRAN MURID

Penggunaan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Sejarah akan merangsang pemikiran murid dengan lebih berkesan.  Menurut Sufean Hussin (2005) penggunaan sumber  pengajaran dan pembelajaran amat perlu kerana melalui bahan tersebut, pembelajaran murid akan jauh lebih bermakna berbanding proses pembelajaran yang berlangsung tanpa penggunaan sumber. Hal ini kerana penggunaan bahan sumber yang baik akan merangsang setiap aspek perkembangan murid yang bukan sahaja merangkumi kognitif malah bahasa, komunikasi dan fizikal murid.  


Guru Sejarah boleh mengajar tajuk berkaitan Zaman Air Batu dengan membuat diorama orang zaman batu.  Penggunaan sumber bahan maujud sebagai bahan. bantu mengajar (BBM) akan  membantu murid membuat pelbagai tanggapan berdasarkan apa yang telah dilihat secara realiti dan  bukan satu persepsi atas dasar andaian sahaja. Bahkan murid akan lebih tertarik untuk mempelajari tajuk tersebut sekiranya dia dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang dipelajari tadi.

  Jelaslah bahawa penggunaan sumber  maujud  seperti diorama  akan membuat murid memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Murid dapat mengaplikasi kemahiran pembelajaran sejarah dan  menjana kemahiran kreatif dan inovatif tentang segala aspek kehidupan manusia zaman silam dan kini (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013). Hasilnya murid dapat mengeluarkan idea yang lebih bernas dan bermakna.

   MENGINTERPRETASI MAKLUMAT DARIPADA PERISTIWA SEJARAH

Signifikan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah murid dapat menginterpretasi maklumat daripada peristiwa sejarah.  Menurut Noresah (2005) interpretasi merujuk kepada tafsiran. Jadi  interpretasi di sini adalah mentafsir atau menganalisis maklumat daripada pelbagai sumber sejarah. Proses pentafsiran maklumat  akan membantu murid dalam meneroka bukti dan membentuk perasaan empati mereka terhadap sesuatu peristiwa bersejarah.

Guru Sejarah boleh menggunakan sumber bahan elektronik seperti tayangan video, animasi atau filem untuk  mengajar sesuatu tema. Tayangan video berkaitan peristiwa dan pemandangan sebenar sesuatu peristiwa  akan membolehkan murid  tahu dengan lebih jelas tentang sesuatu peristiwa bersejarah. Kemahiran kreatif dan inovatif turut dapat dicapai apabila murid berfikir di luar konteks buku teks. Ini kerana mereka akan mendapat maklumat yang lebih tepat dan lengkap  melalui tayangan video dan bahan elektronik  berbanding penggunaan bahan bercetak.

Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) murid mengenai elemen asas sejarah seperti tokoh, tempat, peristiwa, tarikh dan masa  juga akan tercapai apabila murid membuat interpretasi melalui ketokohan sesuatu watak. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), murid bukan sekadar boleh membuat analisis terhadap fakta-fakta yang diperolehi malah membuka ruang yang lebih luas untuk membuat tafsiran baru terhadap permasalahan sejarah. Dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah seperti bahan bercetak, bahan elektronik, internet dan bahan maujud akan membuka ruang yang lebih baik kepada  murid untuk menginterpretasi pelbagai peristiwa sejarah.

MENARIK MINAT MURID TERHADAP MATAPELAJARAN SEJARAH

Menurut Abdul Razaq dan Isjoni (2009), seorang guru akan dianggap berjaya sekiranya mampu menarik perhatian murid terhadap pelajaran yang diajar.  Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran akan memainkan peranan yang sangat bermakna dalam usaha untuk menarik minat murid terhadap mata pelajaran sejarah. Sejauh mana tahap keberkesanan PdP bergantung kepada keupayaan dan kreativiti guru memilih bahan sumber yang sesuai dan menarik untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas atau di luar kelas.

   Guru sejarah haruslah sentiasa kreatif dan inovatif dalam mengolah sumber PdP yang akan digunakan agar sentiasa memikat hati murid-muridnya. Sebagai contoh, guru dapat membawa bahan maujud seperti baju Melayu, tengkolok dan pakaian tradisional semasa mengajar tajuk berkaitan Kesultanan Melayu Melaka ataupun budaya masyarakat  di Malaysia. Persembahan tersebut pasti akan membuat murid berasa kagum dan sedikit sebanyak menarik minat mereka terhadap mata pelajaran sejarah sejak dari sekolah rendah lagi.


  Guru boleh memulakan pengajaran dengan menyediakan set induksi yang dapat menarik perhatian murid kepada guru dan pengajarannya.  Jadi, guru boleh membawa sumber bahan bercetak seperti gambar-gambar bangunan lama bagi set induksi tersebut. Semasa fasa perkembangan pula, guru boleh menggunakan slaid powerpoint  agar maklumat yang lebih teratur dapat dipersembahkan dan akan memudahkan murid mengikuti pengajaran dengan lebih  berkesan (Aszoura Muhamed Salleh, 2007).  Tuntasnya, seorang guru sejarah perlu peka terhadap Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP) yang terdapat pada diri setiap murid agar memudahkan beliau mengenalpasti tahap kebolehan murid dan digunakan sepenuhnya asas untuk menentukan kesesuaian bahan sumber yang akan digunakan. Pada hakikatnya terdapat 8 elemen TKP  murid  iaitu verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, naturalis, kinestetik, muzik, interpersonal dan intrapersonal (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001). Setelah mengetahui kecerdasan mereka, guru boleh mempelbagaikan sumber pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat murid tehadap subjek sejarah.

  MENINGKATKAN DAYA  INGATAN TERHADAP FAKTA SEJARAH

Mata pelajaran Sejarah seringkali dikaitkan dengan proses menghafal fakta dan maklumat yang terdapat di dalam sesebuah buku. Sehubungan itu, jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru akan menentukan tahap keupayaan murid meningkatkan daya ingatan terhadap fakta sejarah yang dipelajari pada hari tersebut, seterusnya membolehkan murid menghuraikan semula fakta sejarah yang telah dipelajari.

Memandangkan mata pelajaran Sejarah sering dianggap susah, guru perlu menggunakan sumber PdP seperti radio dan kaset ataupun CD semasa mengajar murid. Sebagai contoh untuk mengajar  tajuk Identiti Negara , guru boleh membawa murid menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan secara tidak langsung murid  mampu mencapai standard pembelajaran 9.2.3, Sejarah Tahun 5 iaitu menyatakan warna dan lambang pada bendera kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014). Lirik yang terdapat pada lagu tersebut mudah diikuti dan sentiasa berligat di minda murid apabila dinyanyikan. Selain itu, guru juga dapat mengedarkan bahan bercetak seperti risalah yang “diboldkan” atau diwarnakan untuk memudahkan murid mengingati fakta-fakta sejarah yang penting. Cara tersebut kebanyakannya akan membantu murid meningkatkan lagi ingatan mereka terhadap isi mata pelajaran Sejarah yang dipelajari. Nota rujukan juga boleh digunakan oleh guru untuk tujuan rujukan pada masa akan datang. Jelaslah bahawa cara guru dalam mengaplikasikan sumber pengajaran dan pembelajaran mampu membantu murid meningkatkan ingatan dan kefahaman mereka terhadap fakta sejarah yang telah dipelajarinya. Penggunaan pelbagai jenis sumber pengajaran dan pembelajaran dalam PdP akan memberi kelebihan kepada murid meningkatkan ingatan terhadap fakta sejarah berbanding PdP yang tidak menggunakan bahan sumber.


   MENINGKATKAN MOTIVASI DALAMAN MURID

Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran sejarah boleh menimbulkan   rangsangan dan keinginan pelajar untuk mengetahui lebih mendalam akan sesuatu aspek pengajaran di samping menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan (Mat Nor Russin dan Abd  Rahman Abd. Rashid, 1988). Menurut Ee Ah Meng (1990) komponen utama untuk menarik  perhatian awal murid ialah dengan mewujudkan motivasi. Guru perlu tahu bahawa dirinya sendiri merupakan sumber rangsangan yang kompleks yang mempunyai berbagai-bagai sifat  dan tingkah laku. Cara guru bercakap, tersenyum, dan memberikan tindak balas yang berlainan terhadap tingkah laku murid sebenarnya juga merupakan suatu rangsangan untuk belajar. Untuk memberi motivasi yang lebih baik  kepada murid, guru perlu mewujudkan unsur-unsur ketegangan dan akan membangkitkan perasaan murid. Guru juga boleh menunjukkan sesuatu aktiviti yang berguna ataupun menggunakan soalan yang mencabar. Motivasi boleh membangkitkan tingkahlaku positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Motivasi boleh diwujudkan dengan memberikan pujian yang baik, kata-kata perangsang dan sebagainya ketika murid berjaya memberi respon yang tepat terhadap isi pelajaran.


Motivasi juga boleh dipertingkatkan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan melalui penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan melampaui kebiasaan kebanyakkan guru. Penggunaan kaedah  serta sumber pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu lebih menarik dan akan memberi ruang kepada  murid untuk terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran tanpa merasa jemu dan bosan. Suasana pembelajaran seumpama ini secara tidak langsung memberi motivasi dalaman kepada murid.


 Dalam konteks ini, guru boleh merancang aktiviti yang sesuai dengan tahap kebolehan murid dan melibatkan mereka secara langsung dalam penyediaan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang akan digunakan semasa PdP. Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan sendiri oleh murid merupakan suatu pengiktirafan terhadap kebolehan kognitif dan psikomotor mereka, malahan akan meningkatkan motivasi dalaman murid. Pengiktirafan guru terhadap hasil kerja murid bukan sahaja akan meningkatkan motivasi dalaman, seterusnya menjana kemahiran kepimpinan, kreativiti dan inovasi. Guru boleh melaksanakan  pembelajaran koperatif melalui perbincangan dan kerja kumpulan bagi menyediakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan kognitif mereka.


Menurut Steven pembelajaran koperatif melalui perbincangan dalam kumpulan dapat meningkatkan motivasi pelajar. Hasil dari peningkatan motivasi tersebut yang ditunjukkan ia akan menyebabkan pelajar lebih berminat kepada isi pembelajaran yang sedang dipelajari. Melalui pendekatan koperatif juga pelajar dari pelbagai kebolehan dapat bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat. 


MEMBANTU PENGURUSAN BILIK DARJAH


Pengurusan bilik darjah adalah satu proses untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Ramai yang mengatakan bahawa pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang paling sukar untuk dilaksanakan. Menurut kajian 36% guru di Amerika menyatakan bahawa mereka tidak akan menjadi guru sekiranya mereka tahu akan menghadapi masalah. dalam pengurusan bilik darjah (Laporan Pertubuhan Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat, 1981).  Menurut  Maskowitz dan Hayman (1976)  jika sekali guru kehilangan kawalan bilik darjah pada kali pertama maka akan menjadi lebih sukar untuk dikawal semula.  Namun begitu menurut pandangan Anderson (1989) tingkah laku yang melibatkan penglibatan murid secara maksimum dalam aktiviti pembelajaran akan meminimumkan tingkah laku murid yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain semasa proses PdP.

Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran adalah merupakan suatu cara yang berkesan untuk meningkatkan proses pembelajaran murid (Reinich, Molenda, Russell & Smaldino, 1996). Penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran dapat melibatkan pelbagai deria murid dan menjadikan pengajaran ini benar-benar berkesan (Nairn, 1991). Penggunaan media juga dapat membantu pencapaian objektif pembelajaran (Jeyanti, 1996). Keadaan ini akan membantu guru dalam pengurusan dan kawalan bilik darjah secara lebih berkesan.


RUMUSAN

  Penggunaan  bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang  berkualiti tinggi di dalam bilik darjahdarjah akan menghasilkan  (i) kandungan topik boleh dipilih secara lebih terperinci dan diorganisasikan, (ii)  penyampaian pengajaran yang  boleh dipiawaikan (iii) pengajaran adalah lebih menarik minat pelajar (iv) pembelajaran adalah lebih interaktif apabila teori-teori pembelajaran diaplikasikan (v) masa pengajaran boleh disingkatkan (vi) kualiti pembelajaran boleh diperbaiki (vii) arahan boleh diberikan bila dan di mana perlu  (viii)  sikap positif individu terhadap apa yang mereka pelajari dan juga terhadap proses pembelajaran itu sendiri boleh dikukuhkan  dan (ix)  peranan guru juga boleh dikukuhkan (Kemp dan Smellie, 1989).

  Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa kecekapan pembelajaran dan sikap positif  murid terhadap pembelajaran dapat diperkukuhkan melalui penggunaan  bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan berkualiti. Untuk mencapai kebaikan-kebaikan di atas, bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan mestilah bermutu tinggi dan dipilih atau direka, dihasilkan dan digunakan sebagai satu bahagian yang diintegrasikan di dalam sistem pembelajaran dan pengajaran.(Gagne, Briggs,dan Wager, 1992)


  






Ahad, 6 Ogos 2017

Kaedah Belajar Melalui Bermain

Kaedah Belajar Melalui Bermain

MAKSUD: Suatu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana bebas dan selamat, mengembirakan, dan lebih bermakna.

MENGAPA PENTING: 

  • Bermain menjadi fitrah murid di mana dalam proses ini, mereka akan meneroka, membuat inkuiri penemuan dan memperolehi pengalaman langsung secara semulajadi.
  • Bermain Melalui Belajar memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana fleksibel tanpa kongkongan.
  • Aktiviti bermain membantu perkembangan murid secara menyeluruh kerana aktiviti bermain dapat memenuhi keperluan kognitif , psikomotor dan efektif.
TUJUAN BERMAIN MELALUI BELAJAR (BMB):
  • Memberi peluang kepada murid untuk meneroka, mencuba dan meningkatkan penguasaan sesuatu kemahiran.
  • Meningkatkan tumpuan dan perhatian murid terhadap pelajaran.
  • Memberi peluang kepada murid melahirkan perasaan.
  • Memupuk pemikiran inovatif, kritis dan kreatif murid.
  • Membantu proses penyelesaian masalah.
  • Membina kemahiran sosial dengan rakan sebaya dan orang dewasa.
  • Membina kemahiran fizikal serta meningkatkan kemahiran motor halus dan motor kasar.
  • Membina kemahiran bahasa dan komunikasi.
  • Membantu mengatasi perasaan bimbang dan tertekan.
  • Membina kemahiran kendiri yang positif.
  • Memupuk sikap bertanggungjawab.
JENIS PERMAINAN:
  • Permainan Sosial: Permainan sosial berlaku apabila muird bermain bersama dalam kumpulan. Terdapat beberapa  jenis permainan sosial yang boleh dibentuk oleh guru, antaranya (1) main occupied (murid tidak bermain dengan apa-apa alatan atau dengan sesiapapun); (2) main solitary (murid bermain seorang diri tanpa menghiraukan rakan dan keadaan sekeliling); (3) permainan onlooker ( murid memerhati rakan bermain); (4) main paraller (murid bermain sendirian dengan menggunakan cara dan alatan yang sama dengan rakannya); (5) main associative (murid berinteraksi antara satu sama lain dengan bertanya atau meminjam alatan, tetapi mereka tidak bermain bersama) dan (6) main cooperative (murid bermain bersama-sama). 
  • Permainan Kognitif: Murid bermain menggunakan bahan maujud untuk memperolehi pengetahuan bagi meningkatkan perkembangan dan pertumbuhan dari segi kognitif, psikomotor, sosioemosi dan kreativiti. Antara  jenis permainan ini ialah (1) Permainan Simbolik (memberi peluang kepada murid mempamerkan kreativiti, kebolehan fizikal dan kesedaran sosial dengan berpura-pura menjadikan sesuatu objek yang lain seperti  rama-rama, ibu atau sekuntum bunga; (2) Games and Rules (murid bermain mengikut peraturan yang telah ditentukan. Tingkah laku yang dilakukan semasa bermain adalah dalam dah atau peraturan permainan tersebut;(3) Permainan konstruktif ( murid bermain untuk membina pengetahuan mereka mengenai dunia mereka. Mereka menggunakan bahan atau alatan mainan untuk membina bahan lain seperti istana pasir, bangunan, kenderaan dan sebagainya.
  • Permainan Bebas: permainan bebas atau informal melibatkan aktiviti permainan yang spontan dan tidak berstruktur. Semasa menjalankan aktiviti murid berinteraksi dengan bahan yang disediakan oleh rakan sebaya dan orang dewasa.
  • Permainan Sosio-Drama: Murid memberi peluang kepada murid lain melaksanakan pelbagai watak. permainan ini terbahagi kepada dua iaitu (1) main sosio dramatik yang melibatkan peristiwa harian yang benar dan realistik dan (2) main fantasi yang melibatkan perkara yang tidak realistik dan fantasi.

Ahad, 30 Julai 2017

Perancangan Tutorial SJHK3073 2017


         PERANCANGAN SESI TUTORIAL SJHK3073  2017
Mohamad Rashid bin Abu Bakar

Tutorial 1 : Sumber Elektronik dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

      Arahan: Kumpulkan seberapa banyak maklumat daripada sumber internet dan      buku rujukan. Buat perbincangan kumpulan dan buat nota ringkas berkaitan:
         
          (1)   Definisi Perisian Multimedia Sejarah.
          (2)   Jenis-jenis perisian multimedia Sejarah.
          (3)   Implikasi penggunaan perisian multimedia dalam pembelajaran Sejarah.

          Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam siri kuliah akan datang.

          Tutorial  2 : Perisian Permainan Sejarah

          Arahan : Kumpulkan maklumat  tentang perisian permainan sejarah dari internet           dan buku rujukan ilmiah. Buat perbincangan kumpulan dan hasilkan permainan             sejarah menggunakan perisian berikut:

          (1)  Kahoot
          (2)  Pow-Toon (Animasi)
          (3)  Interaktif-games

          Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam siri kuliah akan datang.

          Tutorial  3 : Tahap Penggunaan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

          Arahan : Kumpulkan maklumat  tentang tahap penggunaan sumber pengajaran            dan pembelajaran sejarah di sekolah. Buat perbincangan kumpulan dan hasilkan          bahan-bahan berikut:

          (1)  Alat atau instrumen untuk mengumpul data
          (2)  Kaedah analisis data
                                                  
          Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam siri kuliah akan datang.

          Tutorial  4 : Aplikasi Internet dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

          Arahan : Bincangkan kelebihan penggunaan internet dalam proses pengajaran             dan cara penggunaan yang berkesan bagi perkara berikut:

          (1)  Penggunaan Blog
          (2)  Penggunaan Facebook
          (3)  Penggunaan Skype
                                                  
          Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam siri kuliah akan datang.

         Tutorial  5 : 

          Arahan : Kumpulkan maklumat berkaitan e-pembelajaran. Bincang dan huraikan           dalam konteks berikut:

          (1)  Teori berkaitan e-pembelajaran
          (2)  kepentingan dan sumbangan e-pembelajaran dalam pendidikan masa kini.
                                                  
          Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam siri kuliah akan datang.

        Tutorial  6 : Perbincangan Soalan Ulangkaji

          Arahan : Buat rujukan teks, dapatkan maklumat lengkap dan jawap soalan yang             berikut: 

          (1)  sekiranya anda ingin mengajar tajuk Zaman Air Batu, nyatakan sumber                              elektronik yang boleh digunakan dan perincikan rasional mengapa anda                          memilih perisian tersebut.
          (2)  kenalpasti contoh sumber internet yang boleh digunakan dan perincikan                          kepentingan penggunaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran                              sejarah.
          (3)  cadangkan bagaimana internet dapat membantu guru dalam proses                                    pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah.
          (4)  perincikan sejauh mana perisian permainan sejarah dapat membantu                                mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.
         (5)   buat analisis perbandingan untuk memberi gambaran tentang kekuatan dan                    kelemahan penggunaan sumber elektronik dalam proses pengajaran dan                        pembelajaran sejarah.
                                                  
          Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam siri kuliah akan datang.
                                



Ahad, 18 Mei 2014

Perpaduan dan Integrasi di Malaysia



     
Perpaduan dan Integrasi di Malaysia:  Memahami Konsep Merancang Hasrat.

Mohamad Rashid  Abu Bakar

Abstrak

Kekeruhan hubungan etnik di Malaysia dikatakan mula tercetus selepas Perang Dunia ke Dua, dan sejak itu kita tidak pernah berhenti berusaha untuk menjernihkan kekeruhan dan mengekalkan mutiara-mutiara kejernihan yang mampu kita tangguk dari kekeruhan tersebut. Justeru dalam suasana begini dua kalimah keramat yang menghantui kehidupan sosial dalam masyarakat adalah ‘Perpaduan dan Integrasi’. Pelbagai pihak, sama ada kerajaan, masyarakat dan individu seolah mengidamkan dua kalimah keramat ini mampu menjadi realiti dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Keghairahan dan kegelisahan untuk merealitikan hasrat ini, kadang kala menyebabkan kita tidak rasional dan cukup emosional dalam membincangkan isu perpaduan dan integrasi. Sehubungan itu, artikel pendek ini akan cuba mengupas realiti berkaitan perpaduan dan integrasi serta konsep-konsep asas yang tersembunyi disebalik dua kalimah keramat ini. Hasilnya mungkin mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap konsep dan proses pembentukan perpaduan dan integrasi secara menyeluruh dan lebih terarah.

Kata Kunci:  perpaduan dan integrasi, akomodasi, akulturasi, amalgamasi, asimilasi, ethnosentrisme, rasisme, prejudis, diskriminasi.

1.0              Pengenalan

Perpaduan dan integrasi merupakan dua isu yang menjadi agenda utama negara sejak awal kemerdekaan malah berterusan sehingga kini. Kesungguhan  untuk merealisasikan proses pembentukan perpaduan dan integrasi menjadikan kita kadang kala tidak rasional dan cukup emosional malahan pada ketika tertentu mewujudkan  suasana tegang, gelisah, dan seolah wujud sindrom ‘psychological panic’ apabila ada pihak merasakan bahawa keamanan dan muhibah yang kita nikmati, kita megahkan dan kita canangkan keseluruh dunia kini semakin terancam, akan terungkai dan terburai satu demi satu (Syamsul Amri Baharuddin, 2008). Suasana sebegini menyebabkan kadangkala kita tersasul dengan mengambil  tindakan yang tergopoh-gapah (knee-jerk reaction) dan kadang kala melatah untuk mencari jalan penyelesaian segera (instant solution) untuk mengatasi segala permasalahan. Proses untuk mencapai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berintegrasi bukanlah sesuatu yang mudah, malah integrasi itu sendiri adalah satu proses yang amat kompleks (Mohd Sohaimi et. al., 2011:19).

Sehubungan itu, untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diintegrasikan secara syumul, memerlukan satu dasar (foundation) yang kukuh dan jelas. Pemahaman  terhadap kehendak dan makna yang tersembunyi disebalik konsep perpaduan dan integrasi itu sendiri perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam merancang dan melaksanakan program-program perpaduan dan integrasi. Sebagai satu usaha yang boleh disumbangkan untuk memberi pemahaman berkaitan konsep perpaduan dan integrasi maka kajian ringkas ini akan cuba membincangkan secara akademik konsep-konsep asas berkaitan proses perpaduan dan integrasi untuk difahami, dihayati dan dikongsi oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Untuk mencapai matlamat pembentukan negara bangsa yang bersatu padu, setiap individu tanpa mengira etnik  perlu membina pemahaman yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘perpaduan dan integrasiyang ingin dibina dalam konteks negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

2.0              Konsep Perpaduan dan Integrasi

Cabaran utama kepada golongan pemikir, pemerintah, pemimpin masyarakat dan cendiakiawan di Malaysia adalah untuk menjana kefahaman dan membina strategi untuk terus menerus memantau dan menilai keadaan hubungan antara etnik. Menurut Syamsul Amri Baharuddin (2008:3) sebelum kita mampu melaksanakan atau merealisasikan bentuk perpaduan dan integrasi secara berkesan, kita perlu membina kefahaman yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘perpaduan dan integrasi’. Pada dasarnya hubungan etnik di Malaysia mempunyai asas ‘perpaduan dan integrasi yang mendalam dan kuat terutamanya yang terbina selepas peristiwa 13 Mei 1969 (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:3). Oleh itu, adalah penting kepada kita untuk memahami secara mendalam tentang perpaduan dan integrasi serta proses bagaimana pembentukan kedua-duanya berlaku dan apakah halangan-halangan yang membataskan proses pembentukannya. Sehubungan itu, perbincangan akan cuba mengupas cakupan makna untuk memberi pemahaman kepada umum tentang konsep perpaduan dan integrasi di Malaysia.

Perpaduan merujuk kepada proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga terhadap negara (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:48; Syamsul Amri Baharuddin, 2007). Perpaduan (unity) lawannya perpecahan (disunity), malah menurut Syamsul Amri Baharuddin (2008:3) perpaduan yang diidam-idamkan di Malaysia akan tercapai melalui pengembelengan ciri-ciri kepelbagai (diversity) yang wujud dalam masyarakat.

Unsur perpecahan (disunity) pula berpunca daripada faktor kelas sosial yang mencirikan susun lapis masyarakat. Ia adalah sesuatu yang universal dan wujud dalam semua masyarakat di dunia. Setiap kelas sosial mempunyai kepentingan yang berbeza, malahan pertentangan kepentingan dan kehendak antara kelas sosial yang berbeza ini terus menerus berlaku dan sukar untuk diduga. Proses  tarik tali antara perpecahan (disunity) dan  kepelbagai (diversity) yang berterusan dalam masyarakat berlaku akibat sulaman interaksi faktor kelas, kepentingan etnik dan perbezaan gaya hidup antara kelas dalam etnik yang berbeza (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:4).

Maka bolehlah disimpulkan bahawa konsep perpaduan yang dianjurkan dan realiti sosial yang menjadi acuannya adalah bersifat abstrak dan nyata sekali gus. Ini bermaksud kita mampu membina perpaduan melalui strategi tertentu dan pada masa yang sama wujud faktor-faktor penghalang yang sukar kita duga dan boleh menghancurkan perpaduan yang dibina dalam sekelip mata. Oleh itu, bagi memastikan kelangsungan perpaduan kita menyedari elemen-elemen penghalang yang wujud dalam realiti sosial masyarakat pelbagai etnik.

Integrasi pula merujuk kepada proses untuk mewujudkan satu identiti nasional dalam kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Menurut Syamsul Amri Baharuddin (2007) integrasi adalah proses menggabungkan masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Noriati A. Rashid (2010) pula menyatakan bahawa integrasi nasional adalah proses penyatuan antara kumpulan yang berbeza dari segi latar belakang, status sosial dan budaya dalam membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma disamping mengamalkan kehidupan bersama. Integrasi merupakan satu proses yang berlaku hasil daripada ikatan perasaan antara manusia yang berbentuk kerohanian atau spiritual yang terhasil daripada satu penghayatan yang akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati yang jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional juga merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011 : 179-180).

 Integrasi adalah satu proses yang amat kompleks dalam tahap-tahap hubungan etnik dan boleh dilihat dari darjah kedekatan bermula dengan hubungan yang terpisah (segregasi) sehinggalah mencapai tahap hubungan yang sebati (amalgamasi). Hubungan yang rapat antara wilayah yang terpisah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan nilai, seterusnya mampu mengurangkan konflik, mengutamakan persefahaman dan mewujudkan perasaan harmonis (Ting Chew Peh, 1987).

Integrasi (integration) pula lawannya adalah segregasi (segregation). Proses segregasi (pemisahan) dalam masyarakat dikatakan berlaku akibat daripada dasar pecah dan perintah pihak British. Bentuk segregasi yang jelas berlaku adalah pemisahan ruang fizikal dan segregasi inilah yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan melalui melalui dasar-dasar sedia ada atau yang bakal dibentuk.  Namun begitu proses ini tidak sepenuhnya dapat direalisasikan melalui dasar sedia ada kerana ia bergantung kepada banyak faktor lain seperti harga rumah, saiz keluarga, kemampuan memiliki, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Jika digabungkan perkataan ‘perpaduan dan integrasimaka ia akan membawa maksud  proses untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan politik. Dalam konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak banyak melibatkan unsur-unsur asimilasi, tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan akulturasi (Mohd Ridhuan Tee, 2010:62). Secara umumnya perpaduan merujuk kepada suatu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dan member komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara (Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992).

3.0               Proses Perpaduan dan Integrasi

Proses pembentukan perpaduan adalah satu usaha yang berterusan bermula daripada segregasi kepada kesepaduan sosial melalui proses integrasi.. Segregasi adalah pemahaman yang mengasingkan etnik-etnik mengikut kumpulan masing-masing dan tidak berlaku interaksi antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Segregasi  boleh berlaku dalam masyarakat melalui  (i) pengasingan tempat tinggal, (ii) pengasingan pekerjaan, (iii) perbezaan tumpuan sektor ekonomi, (iv) pengasingan sistem persekolahan, (v) perbezaan kepercayaan dan agama, (iv) masalah ekonomi, (vi) fahaman politik yang berbeza dan (v) penggunaan akhbar yang berbeza (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:3). Perubahan daripada segregasi kepada integrasi akan membawa kumpulan minoriti dan majoriti untuk bersama-sama dalam pembangunan negara. Integrasi yang berlaku juga tidak akan menghapuskan identiti, budaya, agama, kepercayaan, bahasa dan hak hidup kumpulan majoriti ataupun kumpulan minoriti.

Syamsul Amri Baharuddin (2008:5) telah mengariskan empat proses penting yang relevan dan perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam program perpaduan dan integrasi di Malaysia. Empat proses tersebut dapat diperjelas mengikut hirarki seperti ditunjukkan dalam rajah 1.



AmaIgamasi
Proses yang dilakukan secara “interventionist” dan sedar oleh beberapa kumpulan etnik atau pemerintah untuk mencantumkan beberapa unsur berbeza daripada kumpulan etnik yang berbeza dalam satu entiti yang bersatu sama ada secara sementara atau kekal. Contoh projek sekolah wawasan.

Asimilasi
Proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik yang berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok kebudayaan dan identiti yang sama atau satu versi daripada kelompok dominan. Contoh komuniti peranakan (baba-nyonya).

Akulturasi
Proses penerimaan dan pinjaman unsur atau perlakuan budaya antara kelompok etnik yang berbeza.Contoh pakaian, makanan atau apa-apa yang sesuai dengan norma dan nilai kumpulan etnik yang meminjam.

Akomodasi
Proses yang melibatkan beberapa kumpulan etnik yang menyedari bahawa mereka adalah berbeza, namun menghormati norma dan nilai kolektif antara satu sama lain. Contoh konsep kongsi raya, deepa-raya atau konsep-konsep yang serupa dengannya.

Rajah 1.1: Proses 4A Perpaduan dan Integrasi


Dalam menangani masalah integrasi sosial, Malaysia menggunakan pendekatan asimilasi dan akomodasi. Pendekatan akomodasi bertujuan untuk memupuk dan mewujudkan nilai bersama seperti penggubalan Rukun Negara dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Melalui pendekatan  akomodasi tiap-tiap etnik bebas mengamalkan cara hidup mereka secara aman. Proses akomodasi adalah sangat penting dalam proses perpaduan dan integrasi kelompok etnik di Malaysia (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:6). Akomodasi adalah proses paling utama lagi kritikal yang sudah diterima dan dihayati oleh semua kelompok etnik yang ada, sama ada secara peribadi atau kolektif. Ini terjadi kerana sikap positif, dan saling menghormati antara kelompok etnik terhadap nilai dan norma yang diamalkan oleh kelompok etnik lain yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia. Melalui proses akomodasi, secara sedar atau tidak akan menyebabkan berlakunya unsur akulturasi iaitu proses penyerapan atau pinjaman unsur atau perlakuan budaya kelompok etnik lain dan diterima sebagai amalan dalam kumpulan etnik tersebut, contohnya amalan memberi ‘angpow’ yang sudah diterima sebagai budaya oleh semua kumpulan etnik di Malaysia. Proses akulturasi ini mampu merubah tiang seri budaya, norma dan nilai sesuatu kumpulan etnik. Dalam kes ini, etnik yang meminjam budaya mempunyai kelebihan dengan menambah ritual budaya baru dalam kelompoknya.

Sejarah telah membuktikan bahawa di Malaysia, terdapat kelompok etnik yang sedia dan sanggup untuk berakomodasi dengan meminjam unsur-unsur budaya etnik lain, malah bersedia menerima sebahagian besar budaya etnik lain untuk diaplikasikan sebagai budaya etnik mereka. Kumpulan Cina peranakan di Melaka dan Sikh peranakan di Sabah adalah contoh etnik yang terlibat dalam proses asimilasi. Amalgamasi adalah satu proses yang amat berguna dan penting dalam usaha pemupukan perpaduan dan integrasi, tetapi proses ini jarang berlaku dan amat sukat untuk direalisasikan. Oleh itu agak sukar untuk memberi contoh bagi menggambarkan bagaimana amalgamasi berlaku, mungkin idea sekolah wawasan boleh dijadikan contoh, tetapi realitinya sekolah wawasan lebih kepada adunan antara proses akomodasi dan akulturasi.

Berdasarkan perbincangan, maka dapatlah disimpulkan bahawa proses pembentukan perpaduan dan integrasi di Malaysia perlu mengambil kira proses 4A dalam setiap strategi yang dicadangkan. Setiap komponen dalam proses 4A ternyata menggambarkan bahawa wujud perpaduan dan integrasi di Malaysia. Cuma intensity perpaduan dan integrasi ini berbeza-beza dalam setiap proses dan seringkali berlaku turun naik (Syamsul Amri Baharuddin, 2008:7).

4.0             Halangan Perpaduan dan Integrasi di Malaysia

        Malaysia berhadapan dengan cabaran untuk memupuk integrasi ke arah perpaduan sosial yang ampuh. Menurut Schermerhon (1970:12) yang membezaakan antara satu kelompok etnik dengan kelompok etnik yang lain adalah adat resam, pola-pola kekeluargaan dan kekerabatan, agama, bahasa dan nilai kelompok etnik berkenaan. Sikap etnosentrik akan lahir apabila ahli sesuatu kelompok etnik menganggap ciri-ciri kebudayaan merekalah yang terbaik, benar dan hebat dari kelompok etnik lain.

          Selepas merdeka kelompok etnik di Malaysia masih mempunyai wawasan bercapah berasaskan perjuangan kaum dan etnik sempit yang boleh menggugat proses perpaduan dan integrasi yang direncanakan oleh kerajaan. Sikap perkauman yang kuat mempengaruhi pemikiran, sikap dan nilai tuntutan aspirasi dan persaingan, prejudis, stereotaip dan diskriminasi dalam segala aspek antara kaum. Semua elemen ini akan menyumbang kepada tercetusnya masalah dan konflik antara etnik. Pengkhususan ekonomi dan pengasingan tempat tinggal akan mengurangkan peluang perhubungan antara etnik, tetapi akan menimbulkan lebih banyak prasangka etnik,stereotaip dan etnosentrisme dikalangan anggota-anggota kumpulan etnik. Pengasingan tempat tinggal mengikut garis kumpulan etnik pula akan membolehkan anggota tiap-tiap kumpulan etnik memelihara ‘my-group privacy’  daripada kumpulan etnik lain.

         Berdasarkan rujukan yang dilakukan dan penelitian terhadap proses pembentukan perpaduan dan integrasi, jelas bahawa terdapat lima elemen negatif yang sememangnya wujud dalam jiwa setiap kelompok etnik di Malaysia. Ethnosentrisme, stereotaip, diskriminasi, perkauman atau rasisme dan prasangka atau prejudis adalah elemen-elemen yang menjadi penghalang utama kepada proses perpaduan dan integrasi. Sikap, pandangan dan pemikiran yang menyelubungi setiap kelompok etnik ini merupakan ‘silent elemen’  yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada proses perpaduan dan integrasi, kehadiran elemen-elemen ini sukar untuk diduga, malah kadang kala merebak dalam senyap dan sukar dikawal. Sikap atau tanggapan negatif terhadap sesuatu kumpulan manusia atau ras yang berlainan boleh berlaku dalam mana-mana kumpulan etnik apabila wujud perasaan tidak puas hati atau terlalu besar hati. Elemen prasangka atau prejudis ini mungkin tidak akan membesar impak besar jika  pandangan negative itu berlaku dalam skala yang kecil, tetapi jika sebaliknya ia akan mencetuskan tragedi seumpama peristiwa 13 Mei 1969. Rajah 1.2 akan menjelaskan perlakuan-perlakuan yang terkandung dalam elemen-elemen yang dinyatakan.
       


Prasangka/Prejudis
Sikap atau tanggapan yang lazimnya bersifat negatif terhadap sesuatu kumpulan manusia atau ras yang berlainan atau sikap yang dibentuk berdasarkan generalisasi yang tidak rasional kerana kumpulan tersebut mempunyai kualiti tersebut. Ia melibatkan pandangan negatif, yang tidak diluahkan secara terbuka dan tidak berasaskan fakta yang jelas.


Perkauman/Rasisme
Pandangan, pemikiran atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial atau para anggotanya terhadap kelompok lain berdasarkan perbezaan wajah fizikal atau ras semata-mata. Rasisme boleh berlaku pada dua tahap iaitu tahap individu (kepercayaan dan sikap individu) dan tahap institusi (dasar pelaksanaan bersifat diskriminasi atau membentuk ketidaksamaan.

Diskriminasi
Satu proses apabila ahli sesuatu kumpulan atau kategori dalam masyaraakat dinafikan hak untuk mendapat layanan yang saksama dari segi undang-undang dan hak untuk menikmati manfaat sosial yang lain. Layanan berlainan diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu disebabkan faktor ras, agama, jantina, dan fahaman politik.

Stereotaip
Kenyataan umum tentang sesuatu kumpulan etnik. Gambaran berlebihan tentang sesuatu perlakuan baik dan buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik. Pandangan rendah berteraskan interaksi dan semangat perkauman.

Ethnosentrisme
Kepercayaan atau rasa bangga dalam kalangan anggota sesebuah kumpulan atau kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik daripada etnik lain.

Rajah 1.2: Faktor-Faktor Penghalang Perpaduan dan Integrasi


5.0              Rumusan

Isu-isu yang berlegar sekitar hubungan etnik terutamanya berkaitan perpaduan dan integrasi amat perlu untuk difahami kerana jika diperhalusi daripada sudut sosiologi dan antropologi, integrasi nasional membawa maksud minat yang semakin bertambah dalam diri manusia untuk menyatukan kelompoknya demi survival kelompok tersebut (Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, 2014:286). Sekiranya proses ini tidak dilakukan kelompok tersebut akan musnah dan hancur. Justeru itu, integrasi nasional dan perpaduan merupakan rukun survival yang perlu untuk meneruskan kehidupan di dunia. Sehubungan itu,  negara memerlukan bangsa Malaysia  yang bersatu padu, berkongsi masa depan yang sama, hidup dalam keadaan yang harmoni dan wujud perkongsian dengan cara yang sebenar dan adil.

Malaysia menggunakan model integrasi dan plural dalam membina perpaduan etnik. Konsep pluraliti budaya atau  ‘cultural pluralism’  membenarkan setiap komuniti untuk mengamalkan cara hidup dan budaya masing-masing termasuk penerimaan terhadap perbezaan-perbezaan dalam aspek-aspek hidup yang sifatnya lebih peribadi seperti makanan, social keluarga, amalan agama dan pembentukan organisasi social untuk menjadi kepentingan kaum masing-masing.

Apa pun situasinya, penghayatan terhadap konsep dan nilai integrasi dan perpaduan serta keupayaan setiap individu dalam kumpulan etnik tertentu untuk mengadaptasi diri dengan kepelbagaian etnik dan budaya merupakan strategi utama dan relevan dalam usaha untuk mencapai matlamat perpaduan sosial, budaya dan politik yang dihadapi oleh kebanyakkan Negara, termasuklah negara maju.


Rujukan

Ahmad Ali Seman & Warti Kimi (2014). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur:    Freemind Horizon Sdn. Bhd.

Furnival, John. S. (1956). Colonial Policy and Practise: A Comparative Study of Burma and Netherlands India. New York: New York University Press.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah (2010). Cabaran Integrasi Antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan. Jurnal Hadhari. Bil 6, 61-84.

Mohd Sohaimi Esa, Dayu Sansalu & Budi Anto Mohd Tamring (2011). Hubungan Etnik:         Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Syamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Universiti Teknonogi Mara.

Syamsul Amri Baharuddin ( 18 Oktober 2008). Hubungan Etnik di Malaysia:Mencari dan Mengekal Kejernihan dalam Kekeruhan. Kertas Latar dibentangkan di Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan. Kota Kinabalu, Sabah.

Ting Chew Peh (1987). Hubungan Ras dan Etnik. Kuala Lumpur: Pustaka Dimensi.